Menterinya, Datuk Seri Salahuddin Ayub menjelaskan, pendaftaran secara percuma diberikan kepada pelajar yang ingin mendaftarkan paten ciptaan mereka menerusi inisiatif Payung Rahmah.
Beliau berkata, sebanyak sembilan program dilaksanakan membabitkan 1,650 pelajar antaranya usahawan cilik harta intelek (IP), program 'Youth IP' di bawah usaha berkenaan.
"Melalui inisiatif Payung Rahmah, kita sudah memperuntukkan konsep mendaya-upaya dan geran sebanyak RM2 juta diperuntukkan di mana rakyat Malaysia khususnya pelajar yang mula menunjukkan bakat mereka diberikan pendaftaran percuma.
"Pendaftaran percuma itu bagi mendaftarkan dalam bentuk cap dagangan, reka bentuk, perindustrian, petunjuk geografi dan hak cipta," katanya pada sesi jawab lisan di Dewan Rakyat pada Isnin.
Beliau menjawab soalan Dr Richard Rapu@Aman (GPS-Betong) mengenai inisiatif dan bantuan yang boleh dilakukan bagi menggalakkan penciptaan dan inovasi oleh pelajar peringkat menengah mahupun siswa universiti untuk mendaftar paten ciptaan mereka.
Sementara itu menjawab soalan tambahan Nurul Amin Hamid (PN-Padang Terap) yang menyatakan program geran dana pemfailan IP telah dimulakan pada 2022 dengan peruntukan RM4 juta dan bukannya diperkenalkan di bawah Payung Rahmah, Salahuddin (PH - Pulai) bagaimanapun menegaskan, pertikaian tersebut bukanlah keutamaan.
"Saya tidak kisahlah (inisiatif) Rahmah ke tidak Rahmah, bila ia dibuat itu tidak mengapa, asalkan yang baik kita lanjutkan, itu penting supaya keputusan akhirnya, rakyat dapat kepentingan," ujarnya. -- Sinar Harian