Menerusi siaran langsung di TikTok pada Jumaat, Ridzuan memaparkan sekeping nota bertulisan tangan berserta lakaran sarapan pagi dirancang Akiko sebelum pemergiannya.
Nota itu dipercayai ditinggalkan di atas meja sebagai peringatan untuk menyediakan hidangan buat Ridzuan.
"Inilah nota terakhir yang dia tinggalkan. Akiko melukis beberapa lakaran, rupanya dia hendak membuat sarapan untuk saya dan anak kami, Sky.
"Pagi itu saya memang ada perancangan untuk keluar tetapi Akiko sudah menyediakan segalanya sebelum pergi,” katanya menahan sebak.

Ridzuan turut berkongsi bahawa Akiko sering meninggalkan lakaran kecil untuk mengingatkannya tentang keperluan rumah memandangkan dia seorang yang mudah terlupa.
"Dia tahu saya pelupa, jadi kalau minta saya beli barang, dia akan melukis dahulu di kertas.
"Akiko akan melukis botol untuk minuman manakala bagi makanan, dia akan melakar bentuk nasi dan sebagainya. Itu cara dia bantu saya ingat,” ujarnya.
Menurut Ridzuan, isterinya dikenali sebagai seorang yang sangat teliti dan pembersih, malah sering memastikan rumah dalam keadaan kemas sebelum kehadiran pembantu rumah.
"Setiap hari Jumaat, pembantu rumah akan datang selama empat jam, tetapi sebelum itu, arwah akan mengemas terlebih dahulu.
"Dia tidak mahu orang datang dan salah faham apabila melihat rumah dalam keadaan kotor,” jelasnya.
Beliau juga mendedahkan bahawa Akiko sentiasa memastikan kebajikan orang sekeliling terjaga, termasuk pekerja rumah mereka yang dilayan sama seperti ahli keluarga sendiri.
"Arwah sangat baik dengan pembantu rumah. Dia akan memastikan mereka makan dan dilayan sama seperti ahli keluarga.
"Akiko juga selalu mengajar Sky supaya menghormati semua orang tanpa mengira asal usul mereka,” ujarnya.
Ridzuan juga menegaskan sesi siaran langsung yang dilakukan bukan untuk meraih simpati tetapi sebagai cara meluahkan perasaan dan berkongsi kenangan bersama pengikutnya.
"Saya buat siaran langsung bukan untuk ‘content’ tetapi ini cara saya berkongsi cerita dengan anda semua.
"Jika saya tiba-tiba berhenti (melakukan siaran langsung), itu yang perlu dirisaukan,” jelasnya.
Beliau turut berterima kasih kepada mereka yang memberikan sokongan kepada dirinya dan anak mereka, Sky, yang kini masih menyesuaikan diri dengan kehilangan ibu tersayang. - Sinar Harian
