Usah risau, Bazar Moreh dan Sahur dengan konsep outdoor yang dibuka dekat Silveritage, Medan Gopeng di sini sedia menanti kedatangan anda.
Malah, difahamkan bazar dengan konsep menjamu selera secara outdoor itu merupakan yang terbesar di Perak.
Dibuka sepanjang Ramadan bermula jam 9 malam hingga 5 pagi, tentu sahaja ia memenuhi keperluan ramai untuk mencari kudapan atau makanan sahur dengan konsep cukup santai.

Selain itu, ia turut mendapat sambutan daripada pelbagai kaum serta usia dan tidak hanya terbatas kepada pengunjung beragama Islam.

Jika cuaca malamnya baik dan tidak hujan, anda dapat menikmati hidangan sambil ditemani hamparan bintang dan bulan.
Menurut penganjur Bazar Moreh dan Sahur, Denley Sondre, terdapat lebih 20 gerai jualan yang mencakupi beberapa bahagian termasuk pakaian dan refleksologi.

Katanya lagi, usaha itu juga dilakukan bagi membantu para peniaga kecil dan sederhana meningkatkan pendapatan.
"Lebih 1,000 kerusi healing disediakan di tempat terbuka di sini untuk para pengunjung menikmati langit malam.
"Sambutan sangat meriah sejak hari pertama dibuka, pengunjung dari serata tempat memang tumpu gerai menjual makanan hingga jam 3 pagi.
"Kita komited untuk teruskan penganjuran bazar dengan konsep sebegini dengan jumlah peniaga lebih ramai pada tahun depan.
"Sasaran kita termasuk membantu para peniaga yang majoritinya beragama Islam jana pendapatan khususnya untuk Syawal nanti," katanya.
Pekerja di salah sebuah gerai jualan pakaian, Abdul Latif Abdul Hadi berkata, orang ramai sudah mula berbelanja untuk membeli kelengkapan hari raya di sini sejak 2 Mac lalu.

Siti Nuraeini Khairul Anuar yang datang bersama tiga rakannya pula berkata, bazar tersebut menjadi tumpuan ramai memandangkan ia satu-satunya yang ada di Perak khususnya dengan konsep tersebut.
"Kami sudah datang beberapa kali sejak awal Ramadan, suasana di sini tenang dan meriah selain konsep moreh dan sahur yang unik dan tiada di tempat lain," katanya.
Seorang lagi pengunjung, Suzana Mohd Saaid datang bersama-sama keluarga ke sini sehingga kadang kala melewati jam 1 pagi.
"Kami datang untuk cari juadah sahur, konsep terbuka dan santai ini sesuai untuk mereka yang gemarkan ketenangan malam selepas hari yang sibuk," katanya.
