MELAKA: Kota A Famosa, Jonker Street, Pantai Klebang malah pelbagai kawasan tumpuan pelancong yang suram sejak dua tahun lepas susulan pelaksanaan sekatan pergerakan bagi membendung pandemik COVID-19 kini kembali meriah sekali gus memberi sinar baharu kepada peniaga sektor pelancongan di negeri ini.

Seorang peniaga makanan tradisi dan cenderamata di Bazar Samudera di Banda Hilir, Zulaikha Melan, 34, berkata kebenaran rentas negeri sejak Isnin lepas merupakan satu berita gembira bagi golongan peniaga sepertinya untuk bangkit meneruskan perniagaan yang terjejas.

Beliau berkata perbezaan suasana itu ketara sejak awal minggu ini apabila kedainya mula dikunjungi ramai pelanggan terutama dari Lembah Klang untuk membeli buah tangan.

"Lebih lima bulan tidak dapat beroperasi bukan sahaja simpanan makin menyusut tetapi terpaksa menanggung kerugian kira-kira RM40,000 akibat produk makanan di dua kedai saya luput, rosak dan perlu dibuang, tetapi inilah risiko kami sebagai peniaga.

"Rasa bersyukur tidak terhingga apabila aktiviti pelancongan kini berjalan seperti biasa tetapi kita perlu jaga prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan kerana sudah tentu kita tidak mahu berhadapan lagi dengan situasi seperti ini," katanya kepada Bernama di sini semalam.

Berkongsikan perkara sama, seorang lagi peniaga, Azman Wahab, 49, berkata beliau terpaksa beralih kerja sementara sebagai penghantar makanan untuk meneruskan kehidupan kerana perniagaan cenderamatanya tidak dapat beroperasi.

Menurut Azman ketiadaan pelancong sememangnya menjejaskan pendapatan dan memberi kesan kepada mereka yang bergantung jualan daripada pembeli terutama dari luar Melaka.

"Kami harap keadaan ini semakin pulih dan ekonomi kembali rancak supaya kami dapat terus mencari rezeki dalam industri ini," katanya yang memulakan kembali operasi perniagaan sejak Isnin lepas.

Pengunjung dari dalam dan luar negeri bersama-sama menikmati cuti hujung minggu dengan beriadah bersama ahli keluarga dan rakan-rakan di Pantai Pengakalan Balak, Alor Gajah, 16 Okt, 2021. --fotoBERNAMA

Pengayuh beca, Abdul Aziz Mohamad Yunos, 51, yang telah lebih 18 tahun mencari nafkah menerusi perkhidmatan itu berkata tempoh dua tahun sejak pandemik melanda memberi kesan mendalam bagi golongan sepertinya.

"Rasa bersyukur sangat kerana boleh bekerja semula sebab ramai telah mula mengunjungi Melaka. Kebanyakan pelanggan saya adalah pelancong luar negeri.

"Sejak Januari hingga awal Oktober, saya hanya melakukan kerja kampung untuk menanggung isteri dan empat anak yang masih belajar. Jadi apabila sudah diberi kemudahan rentas negeri, perlulah kita bersama-sama menjaga SOP di kawasan pelancongan dan ramai orang," katanya.

Sementara itu, seorang pengunjung, Mohamad Zulkifli Muda, 50, dari Yong Peng, Johor melahirkan kegembiraan kerana dapat meluangkan masa bercuti bersama keluarga khususnya ibunya memandangkan mereka sudah lama tidak bertemu.

"Dalam rasa seronok, jangan kita lupa sediakan penjagaan kesihatan seperti pelitup muka dan cecair pembasmi kuman selain melakukan ujian kendiri COVID-19 sebelum merentas negeri kerana ia penting untuk keselamatan keluarga dan diri sendiri," katanya.

-- BERNAMA