PETALING JAYA: Reman terhadap ibu bapa kepada kanak-kanak autistik, Zayn Rayyan Abdul Matiin, 6, yang meninggal dunia akibat dibunuh di Damansara Damai, Disember tahun lalu, disambung selama enam hari di Mahkamah Majistret di sini hari ini.


Ringkasan AI
  • Reman terhadap ibu bapa kepada kanak-kanak autistik, Zayn Rayyan Abdul Matiin, yang meninggal dunia akibat dibunuh, disambung selama enam hari hingga Rabu.
  • Majistret Ainaa Muhamad Kamal mengeluarkan perintah itu selepas membenarkan permohonan daripada pihak polis mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.
  • Pada 6 Disember tahun lalu, Zayn Rayyan ditemukan meninggal dunia di anak sungai berhampiran kawasan Apartmen Idaman, Damansara Damai pada jam 10 malam. Polis mengesahkan mangsa dibunuh susulan bedah siasat menemukan kesan kecederaan pada leher dan tubuh kanak-kanak itu.


Majistret, Ainaa Muhamad Kamal mengeluarkan perintah itu selepas membenarkan permohonan daripada pihak polis mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

Pasangan suami isteri itu, yang hadir di mahkamah dengan berbaju lokap berwarna ungu, direman sehingga Rabu ini.

Bagaimanapun, pihak media tidak dibenarkan untuk mengikuti prosiding itu, memandangkan ia masih lagi di peringkat permohonan untuk siasatan.

Sebelum ini, mereka direman tujuh hari bermula 1 Jun lalu.

Mahkamah benarkan tempoh reman terhadap ibu bapa Zayn Rayyan disambung enam hari hingga Rabu depan - Peguam

Pada 6 Disember tahun lalu, Zayn Rayyan ditemui meninggal dunia di anak sungai, berhampiran kawasan Apartmen Idaman, Damansara Damai pada jam 10 malam.

Mayat mangsa ditemui oleh kumpulan penduduk yang menjalankan operasi mencarinya.

Mangsa sebelum ini dilaporkan hilang di kawasan kediamannya sebelum ditemui terbaring di sungai yang jaraknya kira-kira 200 meter dari blok kediamannya.

Polis mengesahkan mangsa dipercayai dibunuh susulan hasil bedah siasat menemukan kesan kecederaan pada leher dan tubuh kanak-kanak yang mempunyai kaitan akibat perbuatan jenayah. - Sinar Harian