Seorang remaja lelaki mati lemas selepas bot yang dinaiki bersama dua rakannya terbalik di Sungai Jalan Wayang, Kampung Tembioh dekat Kota Tinggi, pada Ahad.

Komander Operasi Balai Bomba dan Penyelamat Kota Tinggi, Pegawai Bomba Kanan Azman Jantan berkata sembilan anggota dengan dua jentera dan satu bot aluminium dihantar ke lokasi kejadian selepas pihaknya menerima panggilan kecemasan pada pukul 5.21 petang Ahad.

Beliau berkata bot yang dinaiki remaja itu, Mohamad Zamarul Izwan Zaini,16, bersama dua rakannya dipercayai terbalik akibat terlanggar sebuah bot lain.

Bagaimanapun, dua rakannya iaitu Mohd Syafiq Raihan dan Mohd Khairy Afdlin Khairudin, kedua-duanya berusia 16 tahun, berjaya menyelamatkan diri dengan berpaut pada bot.

Mayat Mohamad Zamarul Izwan diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut.

-- BERNAMA