AMPANG JAYA: Seorang remaja antara tiga individu diberkas dipercayai melarikan mesin pengeluaran automatik (ATM) emas di Taman Permata di sini minggu lalu.


Ringkasan AI
  • Seorang remaja antara tiga individu diberkas kerana melarikan mesin ATM emas di Taman Permata, dengan kerugian dianggarkan RM60,000.
  • Polis menahan tiga lelaki tempatan berumur antara 17 hingga 41 tahun, merampas dua telefon bimbit, pakaian, dan sebuah lori yang digunakan dalam kejadian.
  • Salah seorang suspek positif dadah dan seorang lagi mempunyai 54 rekod jenayah lampau. Kes disiasat di bawah Seksyen 380 Kanun Keseksaan.


Ketua Polis Daerah Ampang Jaya, Asisten Komisioner Mohd Azam Ismail berkata, ketiga-tiga suspek ditahan susulan siasatan berdasarkan laporan dibuat seorang pegawai pemasaran berkaitan kejadian terbabit pada 23 November lalu.

"Pengadu sebelum itu menerima panggilan kira-kira jam 9.50 pagi berkaitan sebuah mesin ATM emas di pasar raya terbabit telah ditarik keluar oleh beberapa individu.

"Bagaimanapun siasatan mendapati tiada jongkong emas di dalam mesin ATM berkenaan kerana ia telah dikosongkan, nilai kerugian akibat kejadian dianggarkan kira-kira RM60,000," katanya dalam satu kenyataan pada Ahad.

Beliau berkata, susulan itu operasi dijalankan bermula 26 November lalu sehingga Sabtu berjaya memberkas tiga individu dipercayai terlibat dalam kejadian terbabit.

"Operasi dijalankan Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Ampang Jaya menahan tiga lelaki tempatan berumur antara 17 hingga 41 tahun di sekitar Kuala Lumpur dan Kajang.

"Polis turut merampas dua telefon bimbit, beberapa jenis pakaian dan sebuah lori dipercayai digunakan ketika kejadian," katanya.

Dalam pada itu, Mohd Azam berkata, saringan dijalankan mendapati salah seorang suspek terlibat positif dadah manakala seorang daripada mereka memiliki 54 rekod jenayah lampau serta tiga rekod masih dikehendaki berkaitan jenayah serta narkotik.

"Siasatan mendapati kegiatan ini menyasarkan mesin ATM emas di pasar raya serta mengupah pemandu serta menggunakan lori untuk melarikan mesin ATM emas berkenaan

"Dua individu ditahan telah diberikan jaminan polis manakala seorang lagi suspek direman empat hari untuk siasatan lanjut dan kes disiasat di bawah Seksyen 380 Kanun Keseksaan," katanya. -Sinar Harian