TATKALA situasi banjir di Taman Sri Muda semakin meruncing, Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari meredah banjir demi menyelamatkan penduduk di situ.

Menerusi perkongsian di media sosial beliau, Amirudin akui berdepan cabaran untuk menyelamatkan mangsa yang terkandas.

"Saya di Taman Sri Muda malam ini bersama pasukan penyelamat membantu menyelamatkan mangsa yang terkandas.

"Cabaran yang dihadapi selain dari air yang masih belum surut ialah suasana gelap-gelita serta kereta yang terbengkalai menyukarkan pergerakan," katanya.


Amirudin juga telah berada di SK Taman Sri Muda selama lebih empat jam untuk membantu mangsa yang terkandas.

"Antaranya sebuah keluarga yang mempunyai anak yang baharu lahir serta warga emas. Proses penyelamatan akan diteruskan malam ini bagi mengeluarkan semua mangsa yang terkandas," katanya.

Dalam perkongsian itu, Amirudin turut dilihat bukan sahaja meredah banjir, tetapi juga mendukung bayi yang baharu dilahirkan.