KUANTAN: Rebung madu menjadi 'talian hayat' kepada Kapten (B) Ahmad Azuan Osman untuk meraih pendapatan apabila syarikat pelancongan pengembaraan miliknya Recreation Outdoor Hikers terpaksa menghentikan operasi buat sementara sejak tahun lepas ekoran pandemik COVID-19.
Jika sebelum ini Ahmad Azuan, 42, mencari nafkah dengan menganjurkan pelbagai aktiviti lasak, rutin paginya kini dimulakan dengan mengasah sabit khas dan parang yang menjadi 'senjata' bagi menuai tanaman itu di kebun yang mempunyai kira-kira 200 rumpun buluh madu atau nama saintifiknya Gigantochloa Albociliata.
Membuka bicara, Ahmad Azuan berkata beliau mula menyewa tanah seluas lebih satu hektar yang sudah ditanam rumpun buluh tersebut sekitar setahun lepas, selepas pemilik tanah yang juga rakannya tidak dapat mengusahakannya atas faktor kesihatan.
"Rakan memaklumkan ada membeli kebun buluh pada 2019 namun tidak pernah mengusahakannya. Memandangkan wang simpanan semakin menyusut akibat COVID-19, saya meminta izin untuk melihat tanah itu jika ia boleh membantu saya terus menyara keluarga.
"Kali pertama datang ke kebun, ia hanya dipenuhi semak namun saya percaya kebun buluh madu ini boleh mendatangkan hasil menyebabkan saya nekad membawa keluarga berpindah ke sini," katanya yang ditemui Bernama di kebunnya di Bukit Kuin di sini hari ini.
Bapa kepada tujuh anak berusia antara sebulan hingga 16 tahun itu menambah, tanpa ilmu pertanian yang lengkap, beliau mula memperbanyakkan pembacaan di Internet selain menonton video berkaitan pemprosesan rebung madu di YouTube yang disusuli dengan beberapa percubaan untuk mendapatkan hasil terbaik.
Ahmad Azuan yang bersara daripada angkatan tentera pada 2013 berkata penjagaan buluh rebung madu itu tidak sukar namun lembu dan babi hutan menjadi musuh utama di kebunnya memandangkan kebun itu terletak bersebelahan hutan dan ladang kelapa sawit.
"Serumpun buluh madu yang dijaga dengan baik boleh menghasilkan empat kilogram rebung madu, namun yang penting ialah kerja memangkas buluh tua perlu rajin dilakukan bagi memastikan rumpun buluh mengeluarkan rebung yang banyak.
"Jika dijaga baik, saya boleh menuai 10 hingga 15 kilogram rebung madu yang sudah mencapai ketinggian satu meter setiap hari," katanya yang berkelulusan Ijazah Sarjana Muda Kejuruteraan Komputer daripada universiti tempatan.
Ahmad Azuan kini dibantu anak-anaknya untuk menguruskan kebun dan memproses rebung madu terutama anak sulung, Ahmad Adam, 16.
Proses tuaian yang bermula sekitar 8.30 pagi hanya mengambil masa antara satu hingga dua jam, namun proses merebus rebung madu yang sudah dibersihkan dan dipotong dengan menggunakan dapur kayu boleh mengambil masa selama lima jam selain air rebusan perlu ditukar tiga kali bagi membuang rasa pahit.
Buat masa ini, anak jati Jerantut itu hanya menggunakan media sosial sebagai medium pengiklanan dengan kaedah bayaran tunai semasa penghantaran (COD) untuk pelanggan sekitar Kuantan selain perkhidmatan syarikat penghantaran untuk pembeli luar daerah termasuk Kuala Lumpur.
Ahmad Azuan berkata rebung madu mentah dijual pada harga RM10 sekilogram manakala bagi yang direbus, harganya RM15 sekilogram dengan penghantaran hanya bermula selepas 4 petang kerana beliau menetapkan standard produk yang dijual mesti dituai hari sama bagi memastikan kesegarannya.
"Saya mahu pelanggan menikmati rebung madu yang rangup dan sedap dimakan walaupun hanya dicicah dengan budu atau sambal belacan. Pelanggan yang berasal dari utara banyak memasaknya sebagai pajeri atau digulai bersama daging.
"Mereka yang berasal dari Kelantan pula memberitahu ia (rebung madu) enak dimasak lemak putih selain menurut pelanggan berbangsa Cina, rebung madu sedap digoreng kerana baunya tidak kuat seperti rebung biasa," katanya.
-- BERNAMA
** Setiap Sabtu dan Ahad, AstroAwani.com membawakan artikel santai dan merangkumi pelbagai topik menarik seperti pelancongan, pemotoran, gaya hidup, hobi, kekeluargaan, kesihatan, pengetahuan am, trivia dan banyak lagi. Ikuti #SantaiHujungMinggu!
Bernama
Sat Aug 21 2021
Kapten (B) Ahmad Azuan Osman,42, bersama dua anaknya Ahmad Adam, 16, dan Aiman Hariz, 9, berehat seketika selepas selesai mengambil rebung dari kebun buluh madunya di Kampung Bukit Kuin. - Bernama
[TERKINI] Perkembangan terkini kemalangan tiga kenderaan
Lintas langsung di lokasi kemalangan membabitkan tiga kenderaan hingga dipercayai mengakibatkan sekurang-kurangnya enam terkorban berhampiran RnR Ayer Keroh.
TikTok mungkin dibenarkan beroperasi seketika - Kata Trump
Presiden terpilih Amerika Syarikat (AS) Donald Trump pada Ahad memberi bayangan beliau mungkin membenarkan TikTok meneruskan operasi di negara itu.
Malaysia, Bahrain sempena 50 tahun hubungan diplomatik
Sempena ulang tahun ke-50 hubungan diplomatik, Malaysia dan Bahrain mengesahkan komitmen untuk mengukuhkan kerjasama dua hala merentasi pelbagai sektor, bertujuan untuk memupuk masa depan yang lebih makmur dan berdaya tahan.
Lelaki bakar penumpang tren bawah tanah hingga maut ditahan
Polis New York City menahan seorang lelaki pada Ahad kerana membakar seorang penumpang wanita kereta api bawah tanah hingga maut.
Tahanan Guantanamo: Pemulihan fokus aspek psikologi, hubungan kekeluargaan
Aspek psikologi perlu diuruskan terlebih dahulu kerana individu yang menyertai kumpulan pengganas kebiasaannya adalah mereka yang menanggung emosi yang berat serta berpandangan radikal.
Rating penerimaan PM Anwar meningkat kepada 54 % tahun kedua
Rating kelulusan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim meningkat kepada 54 peratus dalam kalangan pengundi Malaysia pada tahun kedua pentadbiran Kerajaan MADANI, berbanding 50 peratus tahun lepas, menurut kaji selidik Merdeka Center.
[TERKINI] Sekurang-kurangnya enam maut, tiga kenderaan bertembung berhampiran RnR Ayer Keroh
Sekurang-kurangnya enam maut dalam nahas membabitkan tiga kenderaan di kilometer 204 Lebuhraya Utara-Selatan (PLUS) arah utara berhampiran kawasan Rehat dan Rawat (R&R) Ayer Keroh, malam Isnin.
Berita tempatan pilihan sepanjang hari ini
Berikut adalah berita yang paling menjadi tumpuan sepanjang Isnin, 23 Disember 2024.
Berita antarabangsa pilihan sepanjang hari ini
Antara pelbagai berita luar negara yang disiarkan di Astro AWANI, berikut adalah yang paling menjadi tumpuan sepanjang hari ini.
Konsert Maliq & D'Essentials ditunda
Kumpulan itu berjanji untuk kembali ke Malaysia dan bertemu peminat sebaik tarikh baharu dapat ditetapkan.
Rebung madu jadi 'talian hayat' pemilik syarikat pelancongan pengembaraan
Syarikat miliknya, Recreation Outdoor Hikers, terpaksa menghentikan operasi buat sementara sejak tahun lepas ekoran pandemik COVID-19.