KUALA NERUS: Merawat pesakit di bawah dentuman bom dan bunyi tembakan antara pengalaman yang tidak dapat dilupakan oleh seorang Pakar Bedah Am dari Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA) di sini sebaik pulang ke tanah air.
Dr Haniif Ahmad Mazian, 42, antara enam pasukan perubatan kecemasan (EMT) Mercy Malaysia yang berada hampir sebulan di Selatan Semenanjung Gaza iaitu di Rafah selepas terkandas sejak tiba di situ pada 1 Mei lalu.
Pasukan tersebut terdiri daripada pakar bedah am, pakar bedah trauma, pakar ortopedik trauma, pakar bius, pakar kecemasan dan seorang pegawai logistik yang ditempatkan di Hospital Pakar Kuwait bagi membantu mangsa perang di wilayah berkenaan.
"Sepanjang berada di sana, kita berdepan dengan bunyi dron yang kedengaran hampir setiap waktu dan juga bunyi letupan bom pada setiap malam.
"Dalam tempoh itu juga kita menerima ramai pesakit dengan pelbagai kesan kecederaan akibat dibom di sana sini. Pernah dalam sehari lebih 90 pesakit datang tanpa henti.
"Dengan kekangan peralatan perubatan, ia tidak menghalang kami untuk terus berusaha semampu yang boleh untuk menyelamatkan mangsa yang dihantar hospital," katanya ketika ditemui pemberita di sini, baru-baru ini.
Bercerita lanjut Dr Haniif berkata, walaupun bertugas di hospital yang dikategorikan berada dalam zon selamat, pergerakan mereka sentiasa diperhatikan kerana dron pengintip Israel sentiasa berlegar di sekeliling hospital.
"Tak dinafikan kami rasa cemas kerana sentiasa diperhatikan, namun kami cuba untuk kekal tenang dan positifkan minda untuk terus fokus dalam merawat pesakit.
"Sepanjang tempoh itu, kami tetap berkhidmat merawat mangsa perang dan akur dengan nasihat diberikan Pertubuhan Kesihatan Dunia (WHO) dan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) atas faktor keselamatan untuk keluar pada masa yang lebih sesuai," ujarnya.
Dalam pada itu, katanya, angka kematian yang tinggi membabitkan kanak-kanak bukan hanya memberi kesan malah menyuntik keinsafan bahawa hal itu boleh berlaku pada bila-bila masa tanpa diduga.
"Sebagai doktor, kita sudah biasa melihat kematian misalnya di wad hospital, sehingga kematian itu sendiri sudah tidak lagi memberikan 'peringatan' sedangkan ia sepatutnya memberikan peringatan.
"Tetapi, bila di sana, kita lihat banyaknya kematian berlaku terutama melibatkan kanak-kanak kecil dan ia begitu memberi kesan kerana kematian itu berlaku pada bila-bila masa, tak tunggu sakit.
"Ia sekali gus kembali beri peringatan kepada kita bahawa hidup ini perlu bersedia untuk mati, pada bila-bila masa," ujar beliau.
Bapa kepada tujuh anak itu berkata, kekejaman tentera Israel bukan sahaja kepada orang awam termasuk kaum wanita dan kanak-kanak malah turut menyasarkan petugas perubatan.
"Masih segar dalam ingatan saya, seorang kakitangan di Hospital Pakar Kuwait, tempat di mana saya bertugas turut menjadi mangsa tembakan tentera Israel di hadapan hospital tersebut.
"Kehilangannya amat kami rasai kerana dia begitu rapat ketika kami berada di sana," katanya.
Menurut Dr Haniif, pasukan itu sepatutnya pulang ke Malaysia pada 15 Mei selepas dua minggu berkhidmat namun terkandas hampir dua minggu selepas Israel melakukan serangan mengejut ke atas kem penempatan pelarian di Rafah.
Katanya, mereka dibawa keluar dari zon konflik secara berperingkat bersama-sama dengan petugas antarabangsa yang lain dan selamat pulang ke tanah air pada 30 Mei lalu.
"Saya berterima kasih kepada rakyat Malaysia kerana sentiasa mendoakan keselamatan kami sepanjang berada di Gaza.
"Saya harap rakyat Malaysia terus konsisten menyumbang kepada rakyat Palestin untuk pembangunan semula negara itu selepas ini," ujarnya yang kagum terhadap semangat rakyat Palestin yang kini berdepan kehidupan sukar selepas peperangan kembali tercetus sejak 7 Oktober tahun lalu.
Walaupun terperangkap selama dua minggu di Rafah susulan serangan darat yang dilakukan Israel, semangat untuk kembali menabur bakti di bumi Gaza tidak pernah luntur.
"Saya tidak serik sekiranya diminta untuk pergi kali kedua ke Gaza demi membantu umat Islam di sana sekiranya berpeluang dan konflik peperangan sudah berakhir," katanya.
Dalam pada itu, Dr Haniif berkata, terdapat tiga fasa peperangan di mana ia bukan sahaja membunuh mangsa ketika perang itu malah membunuh generasi 10 hingga 20 tahun akan datang.
"Fasa sekarang bantuan amat diperlukan dari segi makanan, perubatan, air bersih dan tempat tinggal.
"Apabila perang sudah berhenti, lebih banyak bantuan diperlukan dari segi sokongan kesihatan mental, pendidikan, untuk bawa anak-anak kecil yang trauma dan pulihkan kembali semangat mereka," katanya.
Kekejaman dilakukan tentera Israel di Gaza telah mengkibatkan kemusnahan berskala besar dengan mengorbankan lebih 37,000 nyawa warga Palestin dan lebih 83,000 lagi tercedera. -Sinar Harian
Sinar Harian
Sun Jun 23 2024
Dr Haniif (tengah) melihat kecederaan yang dialami mangsa perang yang dihantar ke Hospital Pakar Kuwait. -Foto Sinar Harian
Tumpuan Rabu – 25 Disember 2024
Ikuti rangkuman berita utama yang menjadi tumpuan di Astro AWANI.
American Airlines tarik balik pemberhentian penerbangan sementara
Menerusi hantaran media sosial di X, syarikat tersebut memohon maaf atas segala kesulitan yang berlaku serta akan berusaha untuk menyelesaikan masalah ini dengan secepat mungkin.
Bekas ketua dadah Mexico dibebaskan dari penjara Amerika Syarikat
Ochoa dihantar pulang oleh Kerajaan Amerika Syarikat dan kini diisytiharkan bebas daripada sebarang tuduhan undang-undang.
10 Berita Pilihan - (24 Disember 2024)
Antara pelbagai berita dalam dan luar negara yang disiarkan di Astro AWANI, berikut adalah yang paling menjadi tumpuan sepanjang hari ini.
Menara Eiffel akan dibuka secara berperingkat
Namun begitu, menurut kenytaan media syarikat yang menguruskan menara itu berkata, pengunjung hanya diberikan akses sehingga tingkat dua.
12 maut, empat cedera kilang bahan letupan meletup
Menurut Menteri dalam Negeri Ali Yerlikaya, pihaknya sedang menjalankan siasatan terperinci untuk mengenal pasti punca letupan itu berlaku.
Polis Marin rekod hasil rampasan tertinggi libatkan kontraban
Pasukan Polis Marin (PPM) merekodkan nilai rampasan kira-kira RM216 juta bagi tempoh Januari hingga November tahun ini.
Dongeng Sang Kancil sentuhan moden cerita rakyat
Selepas karya Upin dan Ipin dikenali ramai, Les' Copaque kini melakar kejayaan lebih jauh dengan watak popular cerita rakyat menerusi filem ‘Dongeng Sang Kancil’.
Pengasas dan Pengarah Urusan Les' Copaque, Burhanuddin Md Radzi berkata, lebih membanggakan, ia merupakan filem animasi tempatan pertama menggunakan teknik hibrid 3D dan kesan khas 2D.
Pengasas dan Pengarah Urusan Les' Copaque, Burhanuddin Md Radzi berkata, lebih membanggakan, ia merupakan filem animasi tempatan pertama menggunakan teknik hibrid 3D dan kesan khas 2D.
PETRONAS rai tahun baru dengan filem perayaan 'Setulus Hati'
PETRONAS menyambut tahun baharu dengan filem istimewa bertajuk ‘Setulus Hati’ yang mengetengahkan keunikan budaya Peranakan.
Model adaptasi kaji iklim, bencana mampu buat ramalan lebih tepat
Mendepani dua dekad Tsunami yang mengorbankan ratusan ribu nyawa, Universitas Syiah Kual, Aceh melakukan pengadaptasian model perubahan iklim yang menggabungkan kajian perubahan iklim dan bencana.
Rawat pesakit di bawah dentuman bom, bedilan di Rafah
Dr Haniif berkata, walaupun bertugas di hospital yang dikategorikan berada dalam zon selamat, pergerakan mereka sentiasa diperhatikan.