KUALA LUMPUR:
Jenama penjagaan kulit tempatan bersandarkan sains farmaseutikal, The Raw. menyumbangkan 50 tan beras kepada kira-kira 10,000 asnaf di sekitar Kuala Lumpur dan Selangor.

Ia sebagai usaha meringankan beban golongan kurang bernasib baik dan memerlukan terutamanya wanita dan ibu tunggal bersempena Aidilfitri yang menjelang tiba.

Inisiatif dinamakan Sentuhan Kasih The Raw. itu dijayakan bersama Pertubuhan Kebajikan Richworks (RichWell); Enrichment Media Lab Sdn. Bhd. dengan kerjasama Persatuan Gerak Wanita Islam Malaysia (Gerakwanis).

Ia turut mendapat sokongan Gabungan Pengerusi-Pengerusi Penduduk Perumahan Awam/Projek Perumahan Rakyat (PA/PPR) Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) juga Persatuan Penduduk Perumahan Awam Desa Rejang, di mana majlis agihan 6,000 kampit beras diadakan pada Sabtu.

Sehari sebelumnya, inisiatif itu sudah dimulakan dengan pengagihan 4,000 kampit beras kepada asnaf berhampiran empat masjid terpilih di sekitar Selangor dengan kerjasama Lembaga Zakat Selangor (LZS).

Kata wakil syarikat The Raw. International Sdn. Bhd., Nor Amira Amizan, inisiatif yang dijalankan ini merupakan salah satu budaya dan nilai yang diterapkan dalam syarikat itu bagi memberi kembali kepada masyarakat.

"Menyedari pelbagai cabaran termasuk kenaikan kos sara hidup, The Raw. terpanggil untuk bekerjasama dengan beberapa organisasi bagi membantu mereka yang memerlukan.

"Ini merupakan acara amal besar pertama yang kami anjurkan dan kami di The Raw. percaya dengan menyumbang dan memberi semula kepada masyarakat, ia akan membawa keberkatan kepada usaha The Raw. yang sekali gus dapat membawa kami pergi lebih jauh dan besar di persada antarabangsa.”

The Raw. merupakan sebuah syarikat yang diasaskan oleh Adibah Mazlan pada 2017, seorang yang berpengalaman sebagai ahli farmasi dan kini The Raw. telah memasuki pasaran rangkaian farmasi seluruh negara.

Beliau menekankan kepentingan wanita mendapatkan kulit sihat tanpa menggunakan produk yang mengandungi bahan berbahaya seperti merkuri kerana produk The Raw. menggunakan bahan yang membantu wanita mendapatkan bukan saja kulit cantik tetapi apa yang lebih penting adalah sihat.

The Raw. merupakan salah sebuah syarikat berkembang pantas di bawah bimbingan Mentor Usahawan, Datuk Wira Dr Azizan Osman dan RichWorks yang sentiasa menekankan tentang kepentingan memberi sumbangan kepada masyarakat dengan bersedekah dan menjadi usahawan yang bermanfaat kepada ramai orang.

“Kita tahu aspirasi ini menjadi permulaan dan contoh kepada usahawan bimbingan kami yang lain.

“Saya percaya bila kita sudah bermula tahun ini dengan angka yang memuaskan, banyak lagi usahawan yang mungkin bermula daripada kosong dan sekarang sudah menjadi usahawan berjaya dan jutawan dan ia juga akan menjadi satu aktiviti berterusan dan memberi impak yang lebih besar di masa akan datang,” kata wakil Pertubuhan Kebajikan Richworks (Richwell), Hafiz Jasmi.

“Paling baiknya hari ini kita meraikan usahawan wanita, jadi Gerakwanis dengan ahli-ahli kami yang semuanya wanita amat mengalu-alukan program sebegini diusahakan dengan usahawan-usahawan lain untuk menyemarakkan dan memberi lebih banyak manfaat kepada masyarakat setempat,” kata Pengerusi Persatuan Gerak Wanita Islam Malaysia (Gerakwanis), Bibi Sunita Sakandar Khan.

PPR Desa Rejang dipilih memandangkan ia mempunyai jumlah penduduk teramai antara PPR yang berada di bawah naungan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) yang majoriti penduduknya adalah golongan berpendapatan rendah.

“Ini adalah program julung kali diadakan paling besar sekali di PPR Desa Rejang, jadi saya bagi pihak penduduk ingin mengucapkan berbanyak-banyak terima kasih,” kata Ismail Shaari - Pengerusi Persatuan Gabungan Pengerusi-Pengerusi PA PPR DBKL WPKL.

Produk The Raw. kini boleh didapati di lebih 500 cawangan Guardian dan 60 Aeon Wellness seluruh negara.

Bagi mengetahui lebih lanjut mengenai jenama The Raw., layari laman web www.theraw.com.my.


The Raw: Infak 50 tan beras untuk 10,000 keluarga asnaf