KUALA LUMPUR: “Jika kami terpaksa berbuat jahat dan lakukan rasuah apabila besar nanti, harap tuhan jangan benarkan kami menjadi dewasa”

Itu antara doa yang disampaikan empat kanak-kanak cilik berlainan bangsa dan agama, ketika mereka memohon kepada tuhan masing-masing untuk dijauhkan dari dosa membuat rasuah dan kejahatan.

Ia merupakan sebahagian misi #Rasuah membawa transformasi #NilaiMoralKarakterBangsa, dengan melancarkan empat video bertemakan 'Merdekakan Kami Daripada Rasuah'.

Menurut Pengerusi Karangkraf, yang juga ketua inisiatif #RasuahBusters, Datuk Husammuddin Yaacub, Video-video berkenaan mengetengahkan Said Faleeq Mohd Fareez, Kimi Ng Yee Bin, Krishan Ganapathy and Dayna Leia Soliano Rozells sebagai anak-anak Malaysia yang mewakili perbezaan agama dan bangsa di negara ini.

“Rayuan anak-anak kecil dengan tulus memohon kepada Tuhan agar diri mereka dijauhkan daripada terlibat dengan najis rasuah dan mereka menyedari bahawa bahaya serta hukuman yang menanti akibat perbuatan keji tersebut amat besar dipaparkan dalam video empat bahasa itu.

“Kesedaran yang ingin dipupuk melalui video itu bukan sekadar untuk menyambut ulang tahun kemerdekaan akan tetapi membawa erti supaya kemerdekaan itu perlu berterusan diisi dengan jiwa yang suci dan bebas daripada gejala rasuah,” katanya lagi.

Dalam video tersebut, Said Faleeq, yang dikenali sebagai ‘Amir’, melahirkan kehairanan mengapa orang dewasa sering mengingatkan golongan muda untuk mengamalkan nilai-nilai kehidupan yang baik, tetapi mereka sendiri tidak melakukannya.

“Amir tak fahamlah. Kenapa orang besar suruh kita jadi orang baik, rajin, jujur, tapi diorang sendiri tak buat. Ayah kata ada orang buat jahat, tak kena tangkap. Sebab dia upah orang sampai tak kena tangkap. Itukah rasuah?

“Amir takut, Amir taknak tipu, taknak mencuri, taknak jadi jahat bila besar nanti. Taknak masuk neraka. Ya Allah, jauhkan Amir dari rasuah. Aaminn,” doa si cilik itu lagi.

Mesej yang sama turut disampaikan oleh Kimi, Krishnan, dan Dayna Leia, dalam empat video berkenaan.

Hussamuddin dalam kenyataan itu menjelaskan, video yang menampilkan kanak-kanak itu walaupun santai tetapi memberi mesej yang jelas bahawa rasuah ditolak oleh semua agama.

"Rasuah juga merupakan sesuatu yang jijik dan anak-anak kita tidak mahu dibesarkan dengan najis rasuah, duit haram hasil rezeki yang kotor.

"Mereka adalah anak-anak kecil yang masih suci dan kita tidak patut membiarkan mereka dan masa depan mereka ditenggelami dunia rasuah kerana kita tidak menjalankan tanggungjawab pada hari ini.

“Saya berharap sebagai rakyat Malaysia yang berjiwa merdeka kita kongsikan video-video ini seluas-luasnya kerana kita inginkan anak-anak kita terdidik sejak kecil bahawa rasuah itu salah, hina dan perlu dijauhi,” katanya lagi.

Beliau berkata, karakter rasuah yang terbina sekian lama begitu sistemik dan kolektif menyebabkan cabaran menanganinya amat besar.

Justeru, Husammuddin berkata, #RasuahBusters menyeru seluruh rakyat agar bangkit membina #MalaysiaTanpaRasuah dengan menghayati kembali semangat Rukun Negara dengan membebaskan diri dari penjajahan rasuah sebagai batu asasnya.

Tegasnya lagi, kestabilan dan demokrasi negara ini dengan sendirinya akan dapat dipulihkan jika setiap rakyat dan pemimpin kembali mengamalkan ajaran agama yang betul dan berusaha untuk hidup secara harmoni dalam kepelbagaian kaum dan agama di Malaysia.