SHAH ALAM: Seorang pegawai kanan sebuah pihak berkuasa tempatan (PBT) direman tiga hari bermula hari ini bagi membantu siasatan kes meminta dan menerima rasuah berjumlah RM20,000.


Ringkasan AI
  • Seorang pegawai kanan PBT direman tiga hari untuk membantu siasatan kes rasuah berjumlah RM20,000.
  • Suspek lelaki berusia 46 tahun itu dipercayai meminta dan menerima rasuah sebagai balasan untuk melulus dan mempercepatkan permohonan kontraktor tanpa melalui prosedur ditetapkan di antara tahun 2019 hingga sekarang.
  • Kes disiasat di bawah Seksyen 16(a)(B) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009, seperti yang disahkan oleh Pengarah SPRM Selangor, Datuk Alias Salim.


Perintah reman terhadap lelaki berusia 46 tahun itu dikeluarkan Majistret Muhammad Syafiq Sulaiman selepas mendapat permohonan daripada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah (SPRM) Selangor.

Menurut sumber, suspek dipercayai meminta dan menerima rasuah sebagai balasan untuk melulus dan mempercepatkan permohonan kontraktor tanpa melalui prosedur ditetapkan antara 2019 hingga tahun ini.

Sumber itu memaklumkan suspek ditahan di Pejabat SPRM Selangor pada 6.29 petang semalam.

Sementara itu, Pengarah SPRM Selangor Datuk Alias Salim ketika dihubungi mengesahkan kes berkenaan disiasat di bawah Seksyen 16(a)(B) Akta SPRM 2009.

-- BERNAMA