KUALA LUMPUR : Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur  hari ini telah menjatuhkan hukuman penjara 10 hari dan denda RM28,000 terhadap seorang Penyedia Kandungan Operasi Tadbir Urus Celcom bagi empat pertuduhan gagal melapor pemberian rasuah terhadap dirinya.

Mahkamah menjatuhkan hukuman itu ke atas Feeras Roslan, selepas tertuduh mengaku bersalah atas empat daripada enam pertuduhan pilihan iaitu melanggar peruntukan Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009 (Akta 694) untuk melaporkan kesalahan penyogokan kepada pihak Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia

Bagaimanapun mahkamah memutuskan untuk melepaskan tertuduh daripada dua lagi pertuduhan pilihan setelah mahkamah mengambil kira pengakuan bersalah lelaki itu. 

Mengikut pertuduhan utama satu hingga lima, lelaki berusia 35 tahun itu didakwa diberikan RM1,000 daripada Ng Wan Wah menerusi tiga transaksi wang secara atas talian daripada akaun Maybank Islamic Berhad milik Syarikat OSK Telecommunication, No. Akaun 564780166848 ke dalam akaun CIMB Bank Berhad milik tertuduh. 

Perbuatan itu adalah sebagai upah tertuduh memberikan maklumat aduan pelanggan Celcom terhadap syarikat Eznet Sdn Bhd, Evolving Solutions Sdn Bhd dan Wimi Mobile Sdn Bhd yang mana Syarikat Eznet Sdn Bhd, Evolving Solutions Sdn Bhd dan Wimi Mobile Sdn Bhd merupakan content provider kepada Celcom Mobile Sdn Bhd.

Kesemua perbuatan itu dilakukan antara 7 Mac 2018 hingga 4 Disember 2018. 

Tertuduh juga didakwa atas satu lagi pertuduhan utama menerima wang tunai berjumlah RM3,000 daripada Ketua Pegawai Operasi syarikat Elite Entertainment Sdn. Bhd bagi mengurangkan bayaran penalti Liquidated Ascertained Damages daripada RM50,000.00 kepada RM40,000.00 yang dikenakan ke atas syarikat Elite Entertainment Sdn. Bhd. oleh Celcom Mobile Sdn Bhd. 

Perbuatan itu didakwa dilakukan di kawasan tempat letak kereta bersebelahan Menara Celcom, Jalan Raja Muda Abdul Aziz, di sini pada Februari 2017. 

Kesemua pertuduhan utama itu dikemukakan mengikut Sekyen 16 (a)(A) Akta SPRM itu memperuntukkan hukuman penjara tidak melebihi 20 tahun dan denda tidak kurang dari lima kali jumlah suapan atau RM10,000 mengikut mana-mana yang lebih tinggi.

Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Wan Shaharuddin Wan Ladin dan Natrah Fareha Rahmat.