MEKAH: Dalam tempoh 20 hari selepas ketibaan jemaah haji Malaysia ke Tanah Suci, majoriti yang datang ke klinik untuk mendapatkan rawatan adalah disebabkan masalah berkaitan persekitaran.


Ringkasan AI
  • Kesihatan Jemaah: 5,681 jemaah haji Malaysia memerlukan rawatan kerana masalah persekitaran seperti cuaca panas dan berdebu.
  • Nasihat Pencegahan: Jemaah disarankan memakai pelitup muka untuk melindungi diri dari jangkitan dan persekitaran berdebu.
  • Persiapan Perubatan: 278 petugas perubatan disediakan untuk memastikan jemaah mendapat rawatan sepanjang lima fasa operasi haji, dengan fokus kritikal pada fasa Masyair.


Timbalan Ketua Rombongan Haji (Perubatan) Dr Abdul Marsudi Manah berkata, sehingga Isnin, daripada hampir 18,000 jemaah yang sudah sampai di Mekah dan Madinah, data menunjukkan, secara keseluruhan terdapat 5,681 pesakit yang datang ke klinik sama ada di Pusat Rawatan Mekah atau Pusat Rawatan Madinah.

"Secara puratanya, jumlah itu adalah sama seperti tahun lepas iaitu dalam 100 jemaah, ada 4 datang ke klinik. Jumlah 5,681 itu kedengaran agak banyak, tetapi jika dibandingkan dengan jumlah ketibaan jemaah, iaitu kira-kira hampir 18,000 orang, jumlahnya terkawal dan tidak membimbangkan," kata beliau semasa ditemui di pejabatnya di Mekah, semalam.

Menurut Dr Abdul Marsudi yang juga pakar perubatan kesihatan awam di Pejabat Kesihatan di Kudat, Sabah, kebanyakan kes yang dirawat oleh anggota perubatan sama ada di Mekah dan Madinah adalah dicetuskan masalah persekitaran seperti cuaca panas dan berdebu di Tanah Suci.

"Keadaan ini sebenarnya yang mencetuskan penyakit dalam kalangan jemaah. Cuaca panas dan berdebu boleh menyebabkan batuk, demam dan masalah lain berkaitan pernafasan," katanya yang turut memaklumkan 24 orang masih berada di wad sejak penerbangan pertama masuk ke Tanah Suci pada 9 Mei lepas.

Beliau turut menyarankan jemaah haji agar peka dengan keadaan sekeliling yang sesak, berdebu serta kering yang mampu menyumbang kepada pelbagai penyakit seperti batuk dan ia tidak boleh dianggap perkara biasa kerana lama-kelamaan mampu membawa kepada jangkitan paru-paru.

Ditanya mengenai COVID-19, Dr Abdul Marsudi berkata, jemaah dinasihat untuk memakai pelitup hidung dan mulut bukan sahaja untuk kemungkinan jangkitan COVID-19 tetapi juga melindungi persekitaran berdebu, sesak dan virus-virus lain yang tidak diketahui memandangkan jemaah datang dari seluruh dunia, bukan hanya dari Asia sahaja.

"Sebab itu kita galakkan jemaah pakai pelitup, untuk melindungi diri daripada begitu banyak virus yang kemungkinan ada di sini disebabkan oleh kepelbagaian jemaah yang datang ke Tanah Suci terdiri daripada seluruh dunia,"ujar beliau.

Sementara itu beliau berkata, rombongan perubatan yang datang bagi musim haji kali ini adalah seramai 278 orang yang terdiri daripada pelbagai kepakaran dan disiplin untuk memastikan jemaah diberi perkhidmatan terbaik.

"Mereka ini terdiri daripada yang berpengalaman dan baharu. Kepakaran mereka pula pelbagai di mana kita bukan sahaja ada pakar, pegawai perubatan, penolong pegawai perubatan dan pekerja sokongan selain pakar diet, gigi dan fisoterapi," ujar beliau.

Tambah Dr Abdul Marsudi, kesemua 278 petugas perubatan ini akan terlibat dalam lima fasa operasi iaitu pembukaan, penyampaian sebelum wukuf, semasa kritikal waktu Masyair, selepas Masyair dan penutupan.

Dalam kesemua fasa itu katanya, semasa Masyair adalah paling kritikal memandangkan matlamatnya ialah memastikan semua jemaah dapat menunaikan wukuf di Arafah, kerana tanpanya tiada erti mengerjakan haji.