KUALA TERENGGANU: Menikmati hidangan secara bersila di atas hamparan tikar seperti di rumah dengan ditemani angin pantai kini menjadi pilihan penduduk di Terengganu.

Suasana santai dan meriah itu menjadi tarikan baharu orang ramai yang berkunjung ke Bazar Moreh Batu Buruk dengan mengetengahkan konsep kekeluargaan.

Beberapa pengunjung yang ditemui berkata bazar itu menjadi pilihan mereka kerana memberikan lebih pilihan untuk menikmati juadah berbuka, moreh bersahur di samping merapatkan silaturrahim bersama keluarga dan rakan.

JENDELA RAMADAN AL-MUBARAK

Jelas mereka lagi aktiviti di tempat awam seperti berbuka dan bermoreh di kawasan lapang dirindukan mereka selepas negara berdepan dengan pandemik COVID-19.

"Sebelum ini selama PKP 2 tahun duduk di rumah sahaja tak boleh pergi mana-mana untuk bersahur ramai-ramai seperti ini.

"Kini dapat jumpa kawan-kawan, dapat menghabiskan masa bersama keluarga, tapi kita tetap jaga SOP," kata pengunjung, Siti Nur Hashimah Johari.

Bagi Shahrul Hariz pula, bazar berkenaan menjadi pilihan disebabkan terdapat persembahan busker yang dapat dinikmatinya ketika bersahur.

"Di sini boleh tengok suasana orang ramai, tengok persembahan busker.

"Kedai makan juga tutup lambat sehingga pagi, nak sahur pun boleh," katanya.

Sementara itu menurut peniaga Muhammad Izzat Aiman Abdul Fazil, dia tidak menang tangan melayan pengunjung yang tidak putus-putus membeli juadah yang disediakan.

"Kalau nak datang ke Bazar Moreh Batu Buruk ini, tak payah bawa tikar, tak payah bawa meja, datang sahaja dan terus boleh santai di sini kerana kita telah sediakan meja dan kerusi dan tikar untuk duduk kita sediakan.

"Datang sahaja ke Selekoh Primula Batu Buruk Kuala Terengganu ke Bazar Moreh Batu Buruk," katanya.

Bazar moreh berkenaan mula beroperasi pada 9 April lalu dengan waktu perniagaan bermula antara jam 5 petang hingga 3 pagi.

Terdapat kira-kira 12 gerai yang menjual pelbagai juadah dan pengunjung yang hadir turut dihiburkan dengan persembahan busker.


Ramadan | Moreh di tepi pantai jadi pilihan