Raja Permaisuri Agong Tuanku Hajah Haminah Hamidon berangkat menyertai pertandingan golf amal Yayasan Sultanah Bahiyah (YSB) di Glenmarie Golf & Country Club di sini, Ahad.

Ketibaan Seri Paduka pada pukul 7.30 pagi disambut Pengerusi Jemaah Pemangku Sultan Kedah, Datuk Seri Tunku Annuar Sultan Badlishah, anggota-anggota jemaah Pemangku Sultan Kedah, Tan Sri Tunku Sallehuddin Sultan Badlishah dan Datuk Seri Tunku Abdul Hamid Thani Sultan Badlishah serta Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Baginda kemudian berkenan bersarapan pagi bersama peserta golf amal sebelum memulakan 'tee off' pada pukul 8 pagi.

Pertandingan anjuran YSB itu julung kali diadakan dan disertai lebih 120 peserta terdiri daripada orang kenamaan dan penyumbang kepada yayasan tersebut.

Kejohanan bertujuan mengumpul dana untuk kegiatan YSB.