Lebih 3,000 peserta mengambil bahagian dalam acara World Quran Hour di Masjid Sultan Ahmad Shah, Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), hari ini.

Penasihat Sosiobudaya Kerajaan dan Presiden UIAM Tan Sri Dr Rais Yatim berkata agenda utamanya adalah untuk menterjemah dan menjayakan mesej al-Quran dalam bentuk kebaikan, kebajikan, perpaduan dan ilmu.

"Kita banyak membacanya dengan fasih dan baik tetapi terjemahan perbuatan al-Quran itu masih kurang kita ikuti.

"Saya harap semua pihak, terutamanya pihak universiti dapat memainkan tersebut untuk menjayakan mesej al-Quran itu," kata Dr Rais dalam sidang media selepas merasmikan sambutan World Quran Hour di UIAM Gombak.


Program di bawah naungan Jakim ini dianjurkan oleh UIAM dan Yayasan Warisan Ummah Ikhlas (WUI) dengan kerjasama Majlis Dakwah Negara (MDN) dan Pertubuhan Permuafakatan Majlis Ayahanda Malaysia (Permas).

Jelasnya, program ini turut disambut di lebih 50 negara diseluruh dunia, termasuk lebih 45,000 jemaah haji yang sedang wukuf di padang Arafah.

"Pengacara kita sudah berhubung dengan negara-negara ASEAN dan juga negara di timur tengah. Mereka telah mengatur program dan akan disiarkan mengikut zon masa masing-masing," katanya.

Katanya sebelum ini sambutan hanya setakat membaca sahaja, dan program Islamiahnya masih belum dapat dilaksanakan.

"Dalam soal perpaduan, acara Quran Hour ini perlu mendapat tempat dalam program di setiap negara dan negara masing-masing.

"Ada negara yang tidak mahu berhubung dengan negara lain, misalnya. Jadi ini soal perpaduan.

"Kita perlu mencairkan soal persahabatan dan soal perpaduan," katanya.

Mengulas rancangan acara Quran Hour bagi tahun hadapan, Dr Rais berkata ia bergantung kepada maklumbalas yang diterima.

"Saya harap acara ini boleh ditambah baik dengan penyertaan tinggi oleh generasi muda, golongan bukan melayu dan komuniti antarabangsa," jelasnya.

World Quran Hour ini diadakan dengan tema 'Berbudi dan Penyayang' sebagai wadah kempen untuk umat Islam di seluruh dunia untuk merefleksi diri tentang hubungan dengan al-Quran, seterusnya mengatur langkah untuk bertindak mengeluarkan nilai-nilai mulia dari al-Quran menjadi akhlak sebagai Muslim sejati.