KUALA LUMPUR: Beberapa bulan lepas, saya menerima berita yang saya ini mungkin daripada keturunan salah seorang tokoh besar dalam sejarah Melayu iaitu Laksamana Muhammad Amin, menerusi anak perempuannya, hasil perkahwinan dengan isteri pertama.

Laksamana itu adalah salah seorang daripada beberapa orang lelaki yang dituduh bersubahat untuk membunuh Residen British di Pasir Salak, Perak. Pembunuhan itu menjadi detik penting dalam sejarah negara ini, kerana ia memulakan rantaian tindak balas yang bermula dengan terhakisnya kuasa Sultan Perak dan berakhir dengan pengukuhan kuasa British ke atas negeri-negeri Melayu.

Akibat penglibatannya, Laksamana Amin dihukum buang negeri ke Kepulauan Seychelles bersama dengan beberapa orang lain yang dituduh bersubahat - Sultan Abdullah Muhammad Shah II, Sultan Perak ke-26, dan Syahbandar Uda Maamor serta Tengku Menteri Ngah Ibrahim, menantu lelaki Laksamana. Menurut beberapa orang penyelidik, isteri pertama Laksamana, Fatimah bt Mohamad Tahar mengikuti suaminya, seperti kehendak adat pada ketika itu.

Apa yang membuatkan sesetengah sejarawan berasa teruja ialah kemungkinan Laksamana mempunyai dua orang anak perempuan - Ngah Teresah bt Muhammad Amin dan Puteh Manjera bt Muhammad Amin, hasil perkahwinan dengan Fatimah. Pada masa Laksamana dibuang negeri pada tahun 1877, kedua-dua anak perempuannya sudah berumah tangga dan menetap di Kampung Kepayang di Fair Park, Ipoh. Anak perempuan sulung diberitakan berkahwin dengan anak lelaki Ngah Jabor, yang mungkin atau mungkin tidak, pada masa itu menyandang gelaran Dato Panglima Kinta.

Meskipun saya ingin sangat tahu tentang kemungkinan pertalian itu, apa yang saya paling hairan ialah tidak banyak maklumat yang ada tentang kedua beradik itu. Difahamkan Laksamana mempunyai ramai isteri dan anak, dengan catatan banyaknya waris sehingga ke hari ini. Mengapa lain pula kisahnya dengan dua beradik itu, sekiranya mereka sememangnya anak perempuan Laksamana?

Jawapan yang saya terima mudah dan memeranjatkan: mereka wanita muda yang berkahwin tanpa ada abang atau adik lelaki yang masih hidup pada ketika berlaku kekacauan dan ayah mereka pula dianggap sebagai musuh British.


Tak banyak kisah yang ada

Penyelia Kajian Gender (Jantina) di Universiti Malaya (UM) Dr Ruhana Padzil berkata, bukan sesuatu yang memeranjatkan yang kedua beradik itu, walaupun mereka adalah anak perempuan Laksamana, akan lenyap begitu sahaja daripada ingatan masyarakat kerana status jantina mereka dan keadaan ketika itu.

"Masyarakat tahu tentang mereka tetapi sejarah tidak mengiktiraf mereka. Bukanlah mereka itu lenyap (pada hakikatnya), tetapi dalam teks sejarah kita, mereka lenyap kerana wanita tidak penting dalam (teks) sejarah kita," beliau memberitahu saya ketika ditemu bual di UM.

"Tidak pernah dibincangkan dalam teks sejarah kita tentang peranan anak perempuan dan isteri," tambahnya.

Menurut beliau lagi, ini kerana orang Melayu sebelum kependudukan British jarang menulis. Mereka mengamalkan tradisi lisan yakni sebarang memori, hal keluarga dan masyarakat disampaikan kepada generasi berikutnya menerusi penceritaan dan perbualan. Surat pun sedikit.

Sejarah lisan ada memberi penghormatan kepada kaum wanita tetapi penceritaan semula mencetuskan kekeliruan atau lenyap begitu sahaja, akhirnya. Apa sahaja dokumentasi sejarah yang terselamat sehingga kini, adalah kerana pihak British. Walaupun begitu, sebarang dokumentasi memerlukan orang tempatan berinteraksi dengan pentadbiran British, dan sudah tentu sesiapa yang ada hubungan dengan pemberontak tidak akan berbuat demikian. Ramai ahli keluarga juga memilih untuk mengasingkan diri dan mengelak daripada menarik sebarang perhatian.

Catatan sejarah British menggambarkan orang Melayu di Perak selepas Perang Perak sebagai berada dalam "keadaan takut, lekas marah dan menyimpan kebencian."

Ruhana berkata, mana-mana wanita yang nama mereka muncul dalam sejarah, mereka adalah lain daripada yang lain, berbanding dengan kebiasaannya.

Beliau memberi contoh Toh Puan Halimah, anak perempuan Laksamana dengan isteri yang lain dan juga isteri Tengku Menteri Ngah Ibrahim, yang turut dibuang negeri, membandingkan dengan isteri ketiga Ngah Ibrahim iaitu Sa'eah. Kedua-duanya enggan menyertai suami mereka ke Seychelles dan meminta cerai.

Beliau berkata, Halimah dicatat dalam buku sejarah kerana dia bersedia berurusan dengan pihak British, sementara Sa'eah lenyap daripada sejarah.

"Dua kisah yang berbeza. Sa'eah memilih untuk meminta cerai kerana dia masih muda. Dia mahu berkahwin lain dan kerana alasan ini, suaminya bersetuju menceraikannya. Tetapi Toh Puan Halimah, sebagai isteri pertama, dia sepatutnya mengikuti suaminya dan dia enggan," kata Ruhana.

Beliau berkata, Halimah merayu kepada Frank Swettenham, orang tengah utama antara British dan orang Melayu pada masa itu, dan menyatakan yang dia perlu tinggal untuk menjaga anak-anak lelakinya serta harta benda mereka.

"Dia mempunyai perwatakan waja. Akhirnya, Ngah Ibrahim terpaksa menceraikan Toh Puan Halimah, jadi dia dapat apa yang dia hendak," tambahnya.

Ahli sejarah bersetuju bahawa terdapat jurang jantina dalam berurusan dengan sejarah Melayu, yang membuatkan bertambah rumit untuk mengesan leluhur atau nenek moyang sekiranya leluhur itu semuanya wanita.

"Sekiranya anda membaca tentang kisah pembesar kita, kita tidak tahu tentang ahli keluarga mereka (kecuali mereka sebahagian daripada keluarga diraja). Sebagai contoh, kita tidak tahu (langsung tentang) isteri Tun Perak," kata Profesor Madya Prof Mohd Samsudin, pengarah Institut Kajian Tuah.

Beliau terbabit dalam penyelidikan yang menjumpai Fatimah dan dua saudara perempuannya.


Kaedah mencari asal permulaan

Mana-mana anak lelaki seorang yang bergelar dalam sejarah Perak boleh mewarisi gelaran ayah mereka, oleh itu, keluarga yang mempunyai anak lelaki kebiasannya mempunyai rekod keturunan, sama ada menerusi cerita atau di atas kertas. Tetapi memandangkan Fatimah mempunyai hanya dua orang anak perempuan, maka kisah atau hubungan pertalian mereka lenyap begitu sahaja kerana tidak ada keperluan untuk menjejak mereka.

"Ada sedikit kebenaran tentang hal ini. Biasanya kalau keturunan daripada perempuan, mereka tak berhak untuk menuntut sebarang gelaran. Gelaran, bukan harta. Harta soal lain (ada kebenarannya tentang perkara itu. Lazimnya, jika keturunan adalah menerusi talian wanita, mereka tidak berhak menuntut sebarang gelaran. Tapi hanya gelaran, bukan harta benda. Harta berbeza)," kata Profesor Kehormat Prof Ahmad Jelani Halimi, pengerusi Persatuan Sejarah Malaysia (PSM) cawangan Perak.

Beliau menambah, dengan adanya yang tampil mengaku waris keturunan, ini akan memberi peluang untuk menambah pengetahuan tentang sejarah Melayu.

Bagaimanapun, masih ada harapan. Menurut Ruhana, tidak seperti wanita British pada masa itu, wanita dalam sejarah Melayu senantiasa berjaya mewarisi harta.

Samalah juga dengan kedua beradik perempuan itiu. Tuntutan mereka disokong dengan geran tanah dengan nama penuh mereka di atasnya, di samping hubungan mereka dengan keluarga dan orang-orang ternama di Perak pada masa itu, termasuk saudara perempuan Laksamana. Tambahan, terdapat sepucuk surat yang meminta kerajaan British membiayai kos tambang Fatimah untuk kembali ke Singapura dari Kepulauan Seychelles.

Memandangkan tidak banyak bukti sejarah, mungkin ada yang berfikir ujian DNA akan menjadi lebih popular. Bagaimanapun, Mohd Samsudin berkata, ianya tidaklah semudah itu, menggunakan contoh Laksamana Muhammad Amin dan Ngah Ibrahim, yang jenazah mereka dikebumikan di Bukit Chandan pada tahun 2006.

Laporan berita tentang jenazah mereka yang dibawa balik ke Perak dari Singapura menyebut, Dewan Negara Perak menimbangkan ujian DNA dibuat ke atas jenazah kedua-duanya. Tidak ada pula laporan sama ada ujian itu dilakukan.

Melakukan ujian DNA ke atas jenazah yang sudah begitu lama adalah sukar, kerana ia bergantung kepada keadaan jenazah berkenaan, iaitu usia dan keadaan jenazah, di samping persekitaran di mana jenazah itu disimpan. Para saintis berkata, lebih mudah memperolehi DNA daripada tulang lama dalam iklim yang sejuk. Seperti peti ais, sejuk dan keadaan kering memelihara DNA dengan lebih baik.

"Tulang-tulang mereka tersimpan lebih 100 tahun di Singapura," kata Mohd Samsudin.

Beliau menambah, proses itu akan mengambil masa yang panjang dan menelan kos yang tinggi.

Dengan keadaan sekarang, tidak banyak yang boleh dibuat untuk menampung kekurangan maklumat tentang wanita dalam sejarah Melayu.

"Kita perlu membuat lebih banyak penyelidikan," kata Ruhana.

Sebelum mengakhiri perbualan, beliau menyatakan harapannya.

"Teruskan pencarian, carilah lebih banyak maklumat tentang (sejarah) anak-anak perempuan dan isteri-isteri, " katanya.

Janji saya kepada Ruhana, saya akan cuba yang terbaik.

--BERNAMA



Tag: wanita, , nenek moyang, Perak, JWW Birch, , Laksamana Muhammad Amin, Tengku Menteri Ngah Ibrahim, sosial