Putera MIC telah menggesa Kedutaan Malaysia di Indonesia dan semua universiti di Indonesia untuk mempertingkatkan keselamatan pelajar Malaysia yang sedang menuntut di sana.

Ini ekoran kejadian seorang mahasiswi Malaysia di Universiti Padjadjaran di Jawa Barat yang dipercayai diculik dan dirogol secara berkumpulan, awal Sabtu lalu.

Setiausaha Eksekutif Putera MIC, Shashi Muniandy berkata pihaknya kesal dan sedih di atas kejadian itu.

“Isu keselamatan adalah satu aspek penting bagi semua pihak lebih-lebih lagi apabila melibatkan pelajar kita yang sedang menuntut di luar negara.

“Segala kemudahan bagi pelajar haruslah disediakan oleh pihak universiti dalam kawasan kampus bagi mengelakkan pelajar keluar untuk mendapatkan barangan keperluan mereka.

“Pelajar - pelajar juga tidak seharusnya lalai dalam mengutamakan keselamatan dan seboleh-bolehnya keluar secara berkumpulan jika ada keperluan,” katanya di dalam satu kenyataan.

Shashi berkata malang sememangnya tidak berbau, oleh itu semua pihak termasuk rakyat harus peka dan berganding bahu bagi mengelak kejadian sebegini tidak berlaku pada masa-masa yang akan datang.

“Putera MIC juga turut menggesa pihak berkuasa Indonesia supaya menahan semua suspek terbabit dan menghadap mereka ke muka pengadilan.

“Kita tidak akan bertoleransi dengan jenayah sebegini. Putera MIC akan menghantar satu memorandum ke Kedutaan Indonesia berkaitan isu keselamatan pelajar kita,” katanya sambil menambah jika diperlukan, Putera MIC sedia membantu mangsa tersebut untuk meneruskan pengajiannya.

Di dalam kejadian itu, mangsa berumur 20 tahun itu dilaporkan telah dirogol di universiti tersebut di Kampus Jatinangor, Sumedang, Jawa Barat sebelum ditinggalkan dalam keadaan tidak sedarkan diri di sebuah tempat letak kereta kira-kira 40 kilometer dari tempat dia diculik.

Portal berita detik.com yang memetik kenyataan polis melaporkan pihak berkuasa percaya kejadian itu melibatkan empat orang suspek yang kini sedang diburu.

Pihak universiti juga dilaporkan sudah memaklumkan kejadian tersebut kepada pihak berkuasa Malaysia serta keluarga mangsa.

Keluarga mahasiswi itu juga dilaporkan sudah berada di Indonesia.

Menurut polis, siasatan awal mendapati mahasiswi itu dikatakan keluar rumah untuk mengambil wang di sebuah mesin ATM yang terletak tidak jauh daripada rumah sewanya di kampus Jatinangor.

Mahasiswi berkenaan kemudian dikatakan ditegur oleh seorang yang lelaki yang tidak dikenali.

Lelaki itu seterusnya menekup mulut mahasiswi itu dan menariknya masuk ke dalam sebuah kereta.