Kementerian Wilayah memberi tempoh sehingga 31 Dis ini kepada pusat-pusat tahfiz yang beroperasi di sekitar ibu negara untuk mendaftar dengan Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (Jawi) dan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL).

Menterinya, Khalid Abdul Samad berkata langkah mewajibkan semua pusat tahfiz didaftarkan adalah untuk memastikan keselamatan, kebajikan dan pembelajaran pelajar-pelajar tahfiz berada dalam keadaan baik.

"Laporan sesetengah media yang pusat-pusat tahfiz di Kuala Lumpur tidak berdaftar akan segera ditutup adalah tidak tepat dan salah lapor.

"Dalam usaha pendaftaran ini, Kementerian Wilayah akan bekerjasama dengan Jawi untuk mendaftarkan semua pusat tahfiz ini," katanya dalam satu kenyataan di sini, pada Rabu.

BACA: Perak beri kelonggaran pusat tahfiz mendaftar

BACA: Kerajaan PH disaran teruskan dasar pendidikan tahfiz negara


Khalid berkata, DBKL dengan kerjasama Bomba dan Tenaga Nasional Berhad (TNB) akan memeriksa keadaan fizikal pusat-pusat tahfiz untuk memenuhi keperluan minimum dari segi keselamatan dan keselesaan, manakala Jawi pula melihat aspek kurikulum dan pembelajaran pelajar.

Katanya, kementerian akan mempertimbangkan sokongan yang sewajarnya bagi membantu pusat-pusat tahfiz yang gagal memenuhi keperluan keselamatan dan keselesaan sebelum didaftarkan bagi kebaikan pelajar.

BACA: Tutup pusat tahfiz jika pengetua didapati bersalah - Mujahid

BACA: Kaji semula garis panduan selia, kendali pusat tahfiz - Maszlee


Pada Isnin, Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Dr Mujahid Yusof Rawa dilaporkan berkata pusat tahfiz di Kepong yang pengetuanya didakwa terbabit dalam kes meliwat sembilan pelajarnya tidak mendapat kelulusan Jawi kerana gagal mengemukakan laporan Bomba dan DBKL.

-- BERNAMA