Pusat pengundian di SK Tanjung Labian, Lahad Datu mungkin dipindahkan ke sekolah berdekatan iaitu SK Fajar Harapan sekiranya SK Tanjung Labian, yang kini masih ditutup, tidak boleh digunakan semasa pilihan raya umum akan datang, kata Pengarah Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) Sabah Datuk Md Idrus Ismail.

Beliau berkata SK Tanjung Labian, yang ditutup atas faktor keselamatan ekoran kes pencerobohan pengganas di kawasan itu, mempunyai 674 pengundi berdaftar.

"Sekiranya pusat mengundi dipindahkan ke SK Fajar Harapan, pihak kami akan meminta bantuan Pejabat Daerah Lahad Datu bagi menyediakan kenderaan mengangkut atau membawa pengundi ke pusat pengundian itu.

"Dalam hal ini, SPR menjangka tidak ada masalah yang boleh menjejaskan proses perjalanan pilihan raya umum khususnya di Lahad Datu," katanya kepada pemberita selepas majlis penyerahan watikah pelantikan pengurus pilihan raya umum ke-13 bagi negeri Sabah dan Labuan di sini hari ini.

Majlis penyampaian watikah pelantikan itu disempurnakan oleh ahli Suruhanjaya Pilihan Raya Datuk Mohd Yusop Mansor.

Idrus berkata walaupun keadaan di Kampung Tanduo, Lahad Datu dan sekitarnya kini bertambah baik, namun SPR sentiasa memantau situasi semasa bagi memastikan proses pilihan raya umum berjalan lancar.

"Apa yang kami khuatir ialah khabar-khabar angin yang disebarkan (oleh pihak tidak bertanggungjawab) yang mungkin menimbulkan kebimbangan di kalangan pengundi di kawasan berkenaan," katanya sambil berharap agar rakyat Sabah, terutama penduduk Lahad Datu tidak terpengaruh dengan khabar angin yang ada kaitan dengan soal keselamatan.

Idrus juga yakin kadar peratusan pengundi yang keluar mengundi pada pilihan raya umum di Sabah akan meningkat sehingga 75 peratus berbanding 68 peratus pada tahun 2008.

Katanya seramai 17,500 petugas SPR akan mengendalikan pilihan raya umum di Sabah manakala jumlah pusat mengundi di negeri ini ialah 706 selain 17 pusat mengundi bagi Wilayah Persekutuan Labuan.

Idrus berkata SPR kini dalam proses 'pecah buku' atau menyusun saluran pengundi mengikut peringkat umur termasuk warga emas dan pengundi muda yang berdaftar dalam daftar pemilih yang dikemaskinikan pada 31 Mac lepas.

Beliau berkata jumlah pengundi berdaftar bagi Sabah, selepas dikemaskini, akan diketahui dalam masa terdekat.