Pusat kuarantin di hotel akan ditutup - Ismail Sabri

Umavathi Ramayah
Jun 9, 2020 16:46 MYT
Ismail Sabri memberitahu, bermula Rabu, mereka yang pulang dari luar negara dan disahkan negatif boleh menjalani kuarantin di rumah masing-masing. - Gambar BERNAMA
Pusat kuarantin di hotel akan mula ditutup memandangkan rakyat Malaysia yang pulang dari luar negara kini boleh menjalani kuarantin wajib di kediaman masing-masing jika ujian COVID-19 ke atas mereka disahkan negatif.
Menurut Menteri Kanan (Kluster Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, sebanyak 109 rakyat Malaysia yang pulang dari Singapura, Indonesia, Filipina, China serta Belanda pada Isnin kini menjalani kuarantin selama 14 hari.
Katanya, setakat ini seramai 51,347 rakyat Malaysia yang pulang dari luar negara dikuarantin sejak 3 April lalu dan 41,509 daripada mereka dibenarkan pulang.
"Sehingga pukul 8 pagi 9 Jun 2020, sebanyak 147 pusat kuarantin beroperasi berbanding 150 pusat berbanding hari sebelumnya, di mana 15,023 individu masih menjalani proses kuarantin wajib," katanya pada sidang media di Putrajaya di sini, pada Selasa.
Dalam pada itu, Ismail Sabri berkata, sebanyak 12 tapak pembinaan yang tidak mematuhi prosedur operasi standard (SOP) diarah ditutup setakat ini.
Menjelaskannya, beliau berkata, sebanyak7,083 tapak pembinaan diperiksa Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan Malaysia (CIDB) dan 317 daripadanya diberi notis amaran.
Sementara itu, dalam pemeriksaan khas Pematuhan SOP Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB), Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) ke atas 2,369 premis, 27 premis daripadanya diberi notis amaran keran tidak mematuhi SOP.
#CMCO #COVID-19 #hotel #ismail sabri yaakob #keselamatan #KPDNHEP #kuarantin wajib #PKPP #SOP
;