KUALA LUMPUR: Sebuah pusat hiburan di Jalan Loke Yew di sini yang menawarkan gadis pelayan pelanggan (GRO) warga asing dengan bayaran antara RM1,000 hingga RM100,000, diserbu Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Kuala Lumpur lewat malam tadi.

Dalam serbuan bermula 11.45 malam itu penjaga premis bertindak memadamkan semua lampu di dalam pusat hiburan ketika anggota JIM Kuala Lumpur memperkenalkan diri, sehingga menyebabkan beberapa wanita dipercayai GRO terjatuh dan cedera dipercayai kerana cuba melarikan diri.

Malah ketika serbuan pusat hiburan yang terletak di dalam sebuah pusat beli belah itu, terdapat gadis GRO yang didapati bersembunyi di tandas, stor dan di bawah pentas.

Pengarah JIM Kuala Lumpur Wan Mohamed Saupee Wan Yusoff berkata seramai 164 pendatang tanpa izin berusia antara 21 hingga 60 tahun ditahan dalam operasi berkenaan yang berakhir pada 1.30 pagi itu.

Beliau berkata ia melibatkan 113 wanita dan seorang lelaki warga Thailand, 12 wanita Vietnam, masing-masing seorang wanita daripada Laos dan Filipina, 27 lelaki daripada Bangladesh dan tujuh lelaki dan dua wanita China.

"Pihak kami telah menjalankan risikan di pusat hiburan ini selama dua minggu susulan aduan daripada orang ramai berikutan ramai individu yang mabuk daripada pusat hiburan ini menimbulkan kekacauan di kawasan sekitar, seperti bergaduh sehingga menimbulkan ketidakselesaan penduduk sekitar," katanya kepada pemberita di lokasi serbuan awal pagi tadi.

Seramai 53 anggota dan empat pegawai kanan terlibat dalam operasi berkenaan yang turut disertai tiga pegawai daripada Suruhanjaya Integriti Agensi Penguatkuasaan.

Wan Mohamed Saupee berkata semua yang ditahan melakukan pelbagai kesalahan di bawah Akta Imigresen 1963, antaranya seperti tiada dokumen perjalanan diri, pas perjalanan tamat tempoh dan salah guna pas.

"Kami turut menahan seorang pemilik premis dan empat penjaga premis atas kesalahan menggajikan pendatang tanpa izin dan melindungi pendatang tanpa izin," katanya.

Wan Mohamed Saupee berkata terdapat gadis GRO yang ditahan memegang Pas Lawatan Sosial Jangka Panjang atau Pas Pasangan, bagaimanapun mereka tidak mengetahui di mana suami mereka berada.

Mengulas lanjut beliau berkata pusat hiburan yang baru beroperasi selama dua bulan itu juga menawarkan selempang berharga antara RM1,000 hingga RM100,000 kepada pelanggan untuk diberikan kepada GRO pilihan mereka dan tidak menafikan wujud aktiviti persundalan berdasarkan harga yang ditawarkan itu.

Sementara itu dalam operasi berasingan di sekitar Jalan Bukit Bintang dan Jalan Alor di ibu kota pada pukul 10 malam tadi, Wan Mohamed Saupee berkata pihaknya telah menahan seramai 17 warga asing kerana menjalankan aktiviti menjaja di kawasan berkenaan.

Beliau berkata ia melibatkan lapan lelaki Bangladesh, dua lelaki Nepal, empat lelaki Pakistan dan seorang lelaki Vietnam, turut ditahan masing-masing seorang wanita warganegara Indonesia dan Filipina.

Semua yang ditahan melakukan pelbagai kesalahan imigresen antaranya pas tamat tempoh dan tinggal lebih masa, selain menjalankan aktiviti menjaja di sekitar kawasan berkenaan dengan menjual bunga serta mainan kepada pengunjung.

"Kebanyakan yang ditahan memegang Pas Lawatan Kerja Sementara bagaimanapun mereka sudah tidak berkerja dengan majikan yang didaftarkan dan mengikut peraturan mereka perlu pulang ke negara asal, tetapi atas desakan kewangan mereka tinggal di sini.

"Saya hendak maklumkan warga asing dilarang menjalankan aktiviti menjaja di negara ini, ia merupakan satu kesalahan di bawah Akta Imigresen 1963 selain menimbulkan rasa tidak selesa terhadap pengunjung di kawasan berkenaan," katanya.

Wan Mohamed Saupee berkata semua yang ditahan berusia antara 20 hingga 30 tahun akan dibawa ke Pejabat Imigresen Kuala Lumpur bagi urusan dokumentasi, sebelum di bawa ke Depot Tahanan Imigresen Bukit Jalan bagi tindakan lanjut.

-- BERNAMA