BUTTERWORTH: Sambutan hangat terhadap pulut udang 'lejen' di Bazar Ramadan Maklom, dekat sini, menyebabkan seorang anak muda memilih untuk meneruskan legasi ibunya.

Setiap petang, Shahrul Abu Seman, 20, tidak menang tangan membakar pulut udang dan melayan pelanggan yang mahu membeli makanan tersebut untuk dijadikan juadah berbuka puasa.

Ujar Shahrul, pulut udang menu tradisional berinti kelapa yang dijual adalah hasil air tangan ibunya, Kamisah Mat Hashim, 54, yang memanfaatkan resipi turun temurun sejak 30 tahun lalu.

"Bagi mereka yang sering datang ke Maklom tentu sudah tahu mengenai pulut udang di sini.

"Alhamdulillah, bukan saja pada bulan Ramadan bahkan pada hari biasa pulut udang Maklom sentiasa ada permintaan," katanya.



Secara purata Shahrul mampu menjual sehingga 300 butir pulut udang sehari pada bulan Ramadan dan antara 150 hingga 200 butir pada hari biasa.

Malah, pelanggan Shahrul terdiri daripada pelbagai bangsa kerana mereka tahu keenakan pulut udang yang dijualnya dan dianggap nombor satu di bandar ini.

"Kalau bulan Ramadan memang tak menang tangan sebab pulut udang perlu diletakkan atas bara api seketika.

"Biasanya ia habis dijual dalam tempoh dua jam manakala pelanggan pula terdiri dari pelbagai peringkat usia," ujar Shahrul.