GEORGE TOWN: Pulau Pinang akan melaksanakan program pengadaptasian iklim yang pertama di Malaysia tahun ini yang bertujuan membantu komuniti mudah terancam di negara membangun untuk menyesuaikan diri dan meningkatkan daya ketahanan bandar terhadap perubahan iklim.


Ringkasan AI
  • Pulau Pinang akan laksanakan Program Adaptasi Iklim Berasaskan Alam Semula Jadi dengan dana RM9.2 juta dari Adaptation Fund untuk membantu komuniti mudah terancam menyesuaikan diri dengan perubahan iklim.
  • Program ini berlangsung selama lima tahun dan melibatkan kerjasama pelbagai agensi, termasuk penghijauan bandar, pengurusan air ribut, dan pemupukan daya ketahanan sosial serta komuniti.
  • Projek ini akan dijalankan di Bayan Baru, yang sering mengalami banjir, dengan fokus pada tiga subkomponen oleh Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) untuk mengurangkan risiko banjir dan menjaga alam sekitar dengan cara yang mesra alam.


Dikenali sebagai Program Adaptasi Iklim Berasaskan Alam Semula Jadi Pulau Pinang (PNBCAP), program ini ialah inisiatif kerajaan negeri melalui sumber pembiayaan RM9.2 juta dari Adaptation Fund (AF) iaitu sekretariat yang ditubuhkan Konvensyen Rangka Kerja Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu mengenai Perubahan Iklim (UNFCCC).

Pengerusi Jawatankuasa Infrastruktur, Pengangkutan dan Digital Pulau Pinang Zairil Khir Johari berkata program itu dirangka selama lima tahun dengan kerjasama UN-Habitat selaku entiti pelaksana multilateral, kerajaan negeri sebagai pelaksana menerusi Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS), Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP) dan Think City.

"Antara komponen program ini ialah inisiatif penghijauan bandar, pengurusan air ribut yang efisien, pemupukan daya ketahanan sosial dan komuniti serta pengukuhan kapasiti institusi melalui usaha kolaborasi," katanya ketika dihubungi Bernama semalam.

Beliau memaklumkan Bayan Baru merupakan lokasi yang dipilih untuk pelaksanaan projek itu kerana ia bandar pesat membangun, padat dan keadaan geomorfologi di kawasan itu adalah rendah serta memerlukan kaedah penyelesaian secara kejuruteraan berasaskan alam semula jadi yang holistik.

Beliau berkata Bayan Baru juga berdekatan dengan laut dan dipengaruhi oleh kejadian air pasang surut serta 16 kejadian banjir di kawasan itu direkodkan oleh JPS Pulau Pinang dari 2016 hingga 2023.

Sehubungan itu, Zairil berkata JPS Pulau Pinang selaku jabatan teknikal dan entiti pelaksana bagi komponen pengurusan air ribut akan melaksanakan tiga subkomponen untuk mengurangkan kejadian banjir di kawasan berkenaan.

Tiga subkomponen itu melibatkan pemuliharaan koridor biru hijau sungai, pembinaan kolam takungan banjir di bahagian hulu dan komponen penyimpanan serta serapan air.

Menurut beliau, kawasan Taman Kejiranan Jalan Nibong dipilih untuk pelaksanaan projek di bawah komponen takungan banjir di bahagian hulu dan penyimpanan serta serapan air secara adaptasi kejuruteraan berasaskan alam semula jadi.

Kedua-dua komponen ini bertujuan menakung serta menyerap air hujan secara mesra ekologi yang secara langsung mengurangkan kuantiti curahan hujan yang mengalir atau hilang di permukaan tanah serta mengurangkan beban sistem saliran perparitan bandar menampung kuantiti air yang banyak ketika hujan.

Selain itu, rizab Sungai Keluang, Bayan Baru dikenal pasti bersesuaian untuk dinaik taraf menjadi "Urban Biophilia Sungai Keluang" selari dengan objektif program PNBCAP dengan mendorong masyarakat berekreasi, bersukan dan mewujudkan persekitaran hijau termasuk koridor serta sungai tidak tercemar bagi menggalakkan pertumbuhan habitat flora dan fauna sekali gus mengurangkan ancaman biodiversiti.

"JPS Negeri juga melaksanakan program libat urus bersama komuniti Lintang Nibong dan komuniti Sungai Keluang pada 11 Mei lepas bagi mendapatkan input, maklum balas serta memberi pemakluman kepada komuniti terlibat berkenaan pelaksanaan projek fizikal itu," katanya.

Zairil berharap PNBCAP menjadi satu penanda aras kepada semua pihak memandangkan Pulau Pinang ialah negeri pertama menerima dana luar dalam inisiatif meningkatkan daya ketahanan bandar terhadap perubahan iklim secara penyelesaian berasaskan alam semula jadi.

-- BERNAMA