IPOH: Seorang lelaki berusia 61 tahun ditahan polis selepas disyaki melakukan perbuatan khianat dengan membuang bendera Parti Warisan (Warisan) di Tapah.

Ketua Polis Perak Datuk Mohd Yusri Hassan Basri berkata, tangkapan dibuat susulan satu laporan polis oleh seorang lelaki berusia 60 tahun berhubung kejadian itu.

“Satu laporan polis diterima daripada seorang lelaki berumur 60 tahun yang mendapat maklumat dan menerima mesej bergambar berkenaan seorang individu sedang membuang bendera Warisan di sekitar jalan di Tapah.

“Hasil siasatan, pihak polis menangkap seorang lelaki berumur 61 tahun. Kes disiasat di bawah Seksyen 427 Kanun Keseksaan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Sementara itu, Mohd Yusri mengingatkan agar mana-mana individu atau penyokong parti politik agar tidak melakukan perbuatan seperti mencabut, menconteng dan membakar poster, banner, kain rentang dan bendera parti politik lain.

Ini kerana, ia boleh menyebabkan suasana yang tidak harmoni semasa kempen Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) yang berlangsung ketika ini.

Katanya, perbuatan-perbuatan berkenaan adalah perbuatan khianat dan pelaku boleh berdepan tindakan undang-undang.

“Jika didapati mana-mana individu atau kumpulan terbabit bersalah, tindakan boleh diambil di bawah Seksyen 427 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga dua tahun atau denda atau kedua-duanya sekali.

“Polis Perak akan mengambil tindakan tegas terhadap mana-mana pihak yang didapati sengaja melanggar undang-undang yang sedang berkuat kuasa,” jelas beliau lagi.

Sementara itu, Mohd Yusri berkata, sehingga semalam, sebanyak 95 laporan telah diterima pihak polis dan tujuh kertas siasatan dibuka sepanjang tempoh kempen PRU15 berlangsung. 

Tambahnya, sebanyak 300 ceramah dikesan berlangsung bagi tempoh sama dan kesemuanya mendapat permit.