Itu antara yang diinginkan ibu bapa dalam memastikan anak-anak mereka tidak ketinggalan dan mampu menjadi modal insan yang berguna untuk keluarga dan negara.
Bagi membentuk ekonomi Selangor kekal mampan, kerajaan negeri telah memperkenalkan pelbagai strategi bagi memastikan ekonomi negeri ini memulih selepas terkesan dengan pandemik COVID-19.
Dalam usaha memastikan matlamat itu berjaya, ibu bapa melihat sektor pendidikan perlu diperkasakan, termasuk mewujudkan lebih banyak pendidikan percuma atau sekurang-kurangnya tuisyen tanpa bayaran bagi mengurangkan beban kewangan mereka yang berkeluarga.
Bagi seorang peniaga yang dikenali sebagai Fiza,45, dia mahu pihak berwajib memperbanyakkan usaha berkenaan memandangkan situasi semasa ekonomi yang tidak menentu, dan ditambah lagi dengan kenaikan harga barangan.
"Saya rasa baguslah kalau disediakan pendidikan atau tuisyen percuma untuk pelajar sekolah. Sebab kita sudah berapa lama sudah lockdown, jadi apabila sambung balik sekolah, memang banyak tinggal," katanya kepada Astro AWANI.
Dalam pada itu, bagi kakitangan swasta, Nur Aira Yaziz,36, dia mahukan pendidikan yang lebih terkehadapan dengan terus memperkasakan aspek pendigitalan dalam pembelajaran.
Dalam masa sama, pihak berwajib diharap dapat membantu mencari kaedah berkesan dalam mewujudkan platform pendidikan yang sesuai dengan perkembangan semasa.
"Kelas tambahan ini bukan murah. Ia sangat mahal. Mungkin juga boleh beri tuisyen percuma, atau mungkin perlu platform untuk belajar di telefon iaitu sesuatu yang menjurus ke arah pendidikan," ujarnya.
Dalam pada itu, seorang lagi kakitangan swasta, Dzulkarnaen Zaharuddin, dia berharap sistem pendidikan terus memperkasa pendigitalan bagi memudahkan pembelajaran anak-anak.
"Kita ini mungkin dari transisi pandemik , kanak-kanak dari PDPR, selepas itu balik semula kepada sekolah biasa. Jadi, bagi saya transition itu ada gap dekat situ. Murid baru sahaja nak biasakan diri dengan PDPR, tetapi kena balik sekolah balik.
"Sepatutnya apabila sudah PDPR, kita sudah kurangkan penggunaan buku teks, buku kerja. Maknanya pembelajaran dekat sekolah itu belajar dibuat seperti biasa, namun dari segi kerja sekolah itu perlu balik kepada pdpr dan digital," ujarnya.
Selain itu, insentif pendidikan turut dicadangkan agar diberikan kepada mereka yang terlibat dalam pembangunan pendidikan anak-anak istimewa selain memperbanyakkan kelas-kelas tuisyen percuma untuk pelajar.
Apa yang lebih penting, pendidikan anak-anak menjadi keutamaan ibu bapa demi masa depan mereka dan negara.