MEREKA menjadikan bot sebagai rumah, dan laut sebagai lantainya. Kerana arus kemodenan, mereka mula naik ke daratan.

Etnik ini yang juga dikenali sebagai 'Gipsi Laut', kini menjadi pengemis di sebalik lampu isyarat.

Ini kisah etnik Pala'u - komuniti nomad laut yang tidak mempunyai kerakyatan.

Penulis dan jurukamera, AB Uzza Abdul Latif, yang berada di Lahad Datuk untuk membuat liputan sempena Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) cuba merungkai apa nasib mereka.

Etnik Pala'u atau Bajau Laut menetap di sekitar perairan Sabah termasuk Semporna, Kunak, Lahad Datu, Sandakan, Tawau serta Kudat.

.

Kali ini, kami bawakan cerita dari Lahad Datu.

Dari jauh, kru Astro AWANI melihat kanak-kanak Pala'u bersama wanita dewasa berdiri di persimpangan lampu isyarat. Penulis cuba mendekati beberapa kanak-kanak, yang sedang berdiri di sebelah kenderaan dan meminta wang.

Apa yang berlaku, kanak-kanak Pala'u itu lari 'lintang-pukang' seolah-olah ketakutan. Tetapi tindakan penulis, bukan untuk menakutkan mereka.

.

Setiap hari inilah aktiviti mereka iaitu menjadi pengemis. Tidak hirau panas mahupun hujan, atau lajunya kenderaan, mereka menadah tangan meminta ihsan.

.

Pemerhatian Astro AWANI mendapati kumpulan ini berusia antara tiga hingga 50 tahun.

Mereka dikesan di beberapa lokasi termasuk persimpangan lampu isyarat Jalan Bunga Raya dan Bandar Sri Perdana, di Lahad Datu.

.

Modus operandi mereka adalah menggendong bayi dipercayai bagi meraih simpati. Kumpulan ini mengemis dari satu kenderaan ke kenderaan lain dengan cara berbahaya.

Persoalannya, apakah mereka ini diperalatkan?

"Bagi pandangan saya benda ini (kegiatan mengemis) sebenarnya sudah lama, dah beberapa tahun sejak saya belajar sampai sekarang.

"Bukan tiada penyelesaiannya, ada penyelesaian. Mereka (pihak berwajib) menyediakan tempat tinggal dan pendidikan tetapi mereka memilih untuk keluar daripada tempat itu, dan meminta-minta serta dipercayai disokong oleh sindiket," kata penduduk Lahad Datu, Anna Jani, 39.

.

Anna menambah, dia pernah berdepan dengan tindakan agresif daripada kanak-kanak Pala'u yang cuba meminta wang daripadanya.

"Untuk daerah saya, memang mencacatkan pemandangan sebab kita pun menerima orang luar dan pelancong.

"Tetapi kita ini kadang-kadang lebih membimbangkan dan keselamatan mereka di lampu isyarat. Mereka berlari dan membawa bayi ke sana sini," ujarnya lagi.

.

Sementara itu penduduk, Mursid Balahim, 30, berkata selain berada di lampu isyarat, kumpulan etnik Pala'u turut mengemis di kawasan pekan termasuk di kedai-kedai makan.

"Budak-budak Pala'u ini sekarang mereka banyak di lampu isyarat, mungkin ini sumber rezeki mereka," katanya.

Seorang lagi penduduk, Ida Kelagai, 39, berkata: "Hari-hari mereka minta duit di lampu isyarat. Kadang-kadang di tempat kami berniaga."


Kadangkala penduduk akui rimas dengan sikap mereka yang meminta-minta sehingga ke tahap mendesak.

"Rimas dan pada masa yang sama risau sebab mereka berdiri di lampu isyarat. Kalau tidak diberi mereka memaksa.

"Mereka bawa anak kecil dan (biarkan) menangis. Kalau diberi duit, mereka panggil lagi kawan-kawan mereka," luah peniaga warung, Rosalin Radin, 39.

.

Ditanya apakah penduduk setuju jika pihak berwajib menyediakan penempatan untuk kumpulan itu, Rosalin menyifatkan langkah berkenaan sebagai penyelesaian yang baik.

"Itu lebih bagus, mereka pun tidak bahaya dan kita pun aman (tidak dipaksa beri wang). Kalau kita jalan, mereka tarik baju dan kita pun tak selesa.

"Kadang kita kesian juga tetapi kalau diberi menjadi kebiasaan pula untuk mereka," ujar Rosalin lagi.

.

Daripada mengherdik etnik Pala'u, cef, Amirul Basharullah, 53, pula memilih langkah berbeza dengan mendidik kanak-kanak Pala'u agar berdikari.

Daripada sisi berbeza, Amirul akui kumpulan ini boleh menjalankan kerja, jika diberikan peluang.

"Saya sebagai peniaga tepi jalan saya upah mereka untuk membersihkan parit dan buang sampah.

"Keadaan parit di sekitar kedai saya bersih kerana budak-budak ini. Saya akan beri upah dan mereka akan datang setiap pagi untuk minta kerja dengan saya.

"Jadi ini satu pengalaman yang saya rasa mungkin boleh diambil kira oleh pihak-pihak tertentu untuk membantu mereka," katanya.

.

'Kami susah, kena mengemis...'

Selepas dipujuk oleh penduduk tempatan, sekumpulan etnik Pala'u memberanikan diri menghampiri kru Astro AWANI.

Seorang kanak-kanak perempuan Pala'u memberitahu, dia berdiri sehingga tiga atau empat jam untuk mendapatkan RM10.

.

Ketika disapa, kanak-kanak ini hanya banyak tersenyum tetapi sedar tindakannya berdiri di persimpangan jalan raya adalah berbahaya.

"Kadang-kadang saya tunggu sampai malam (untuk dapat RM10). Takut juga berdiri tepi jalan," kata kanak-kanak ini.

Seorang lagi wanita Pala'u yang menggendong bayinya dengan nada sayu berkata: "Kami bawa sekali bayi, sebab kami susah."

Dia menambah, duit daripada mengemis digunakan untuk mengisi perut dua orang anaknya.

"Selalu dapat sikit, lebih RM10 dan RM15. Kami buat beli ubi.

"Kalau kami tak minta duit, tak dapat makanlah kami," kata wanita itu, sambil mengakui dia pernah dimarahi oleh orang awam.

Laporan siri kedua "Nasib Pengemis Pala'u' akan disiarkan pada Jumaat.