KUALA LUMPUR: Aliran trafik di lebuh raya utama dari ibu kota menghala keluar ke utara, timur dan selatan negara dilaporkan lancar setakat 10.30 malam ini.

Ini susulan orang ramai sudah mula pulang ke destinasi masing-masing sejak semalam bagi menunaikan tanggungjawab sebagai pengundi dalam Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15), esok.

Tinjauan di tiga plaza tol, iaitu di Gombak, Sungai Besi dan Jalan Duta mendapati aliran trafik lancar dan terkawal.

Bagaimanapun, aliran trafik perlahan di beberapa laluan keluar dari lebuh raya utama negara.

Menurut jurucakap Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM), trafik perlahan dari Bidor ke Tapah, Terowong Menora ke Hentian Rehat dan Rawat Sungai Perak susulan kemalangan di Kilometer (KM) 258.7.

"Aliran trafik turut dilaporkan perlahan menuju ke selatan di Alor Pongsu menuju Bukit Merah akibat kemalangan di KM 191.6, Tangkak ke Hentian Sebelah Tangkak," katanya ketika dihubungi Bernama.

-- BERNAMA