KUALA LUMPUR: Aliran trafik di lebuh raya utama seluruh negara dilaporkan lancar menjelang perayaan Aidiladha yang disambut esok.

Jurucakap Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM) memaklumkan jumlah kenderaan sedikit meningkat berbanding hari biasa di Lebuhraya Utara-Selatan (PLUS) dan Lebuhraya Kuala Lumpur-Karak (KLK) namun trafik masih terkawal setakat 8.30 malam ini.

Beliau berkata setakat ini aliran trafik di Lebuhraya Pantai Timur (LPT) 1 dan LPT 2 juga dilaporkan lancar di kedua-dua arah.

Orang ramai boleh mendapatkan maklumat trafik terkini menerusi talian bebas tol PLUSLine 1-800-88-0000 dan laman X @plustrafik atau talian LLM 1-800-88-7752 serta laman X @llmtrafik.

-- BERNAMA