“YES ma’am, any keychain, souvenirs?”
Di satu sudut di atas Bukit St. Paul, ringan mulut Rohani Yaakob menegur setiap pelancong yang melintasi meja jualan cenderamatanya.
Namun tiada seorang pun yang singgah membeli. Adapun sekadar melihat sepintas lalu, ada yang singgah membelek barangan jualannya, bertanya harga, kemudian berlalu pergi.
Beginilah kebiasaannya, lebih-lebih lagi pada pertengahan minggu seperti pada petang Khamis itu.
Tidak pernah putus pengunjung dari dalam dan luar negara ke tapak bersejarah yang dahulunya sebahagian daripada Kota A Famosa binaan Portugis ketika detik awal episod penjajahan di tanah bertuah ini.
Sekeliling binaan ratusan tahun Gereja St. Paul di atas bukit itu dipenuhi para peniaga yang mencari sesuap nasi dengan menjual cenderamata, lukisan, dan bermain muzik.
Antara mereka ada yang baharu, ada yang sudah bertapak lama, seakan penghuni tetap di atas bukit itu, termasuklah Rohani atau mesra dipanggil Kak Ani.
Sejak 12 tahun yang lepas, wanita berkulit sawo matang itu menjual cenderamata yang diharap dapat jadi bahan kenangan para pelancong yang berkunjung ke situ. Barangnya tidak banyak, yang dijual adalah rantai kunci, magnet peti sejuk, kipas tangan, serta rantai dan gelang yang boleh dilukis nama.
Tetapi tidak semua pengunjung rajin membeli cenderamata, apatah lagi dengan adanya rakan-rakan berniaga lain sekitarnya menjual benda-benda yang lebih kurang sama. Semuanya bergantung pada nasib.
“Orang putih tak sangat beli (barangan cenderamata), harap pun pada orang tempatan. Selalunya kalau ada rombongan sekolah, budak-budak inilah yang rajin beli.
“Tak tentu boleh jual berapa. Ada hari boleh dapat RM100 ke, kalau nasib baik sikit dapat la dekat-dekat RM200. Ada hari tak sampai RM50 pun,” ceritanya.
Kekayaan sejarah Melaka menjadikannya antara destinasi pelancongan paling popular di Malaysia menarik sekitar 17 juta pelancong setahun dari dalam dan luar negara ke Bandar Warisan Dunia UNESCO itu dan dijangka terus meningkat.
Kemakmuran industri pelancongannya dibuktikan dengan catatan 46.6 peratus atau RM14.467 bilion daripada keseluruhan pendapatan negeri Melaka, dan Kak Ani antara ribuan peniaga dan usahawan yang bersama menyumbang kepada angka itu.
Dari dulu hingga sekarang, itulah yang dijual, dan itulah harganya, masih sama seperti dahulu. Dia mengakui semakin hari harga barang makin naik, namun dia tidak mampu untuk menaikkan lagi harga jualannya untuk mengatasi perbezaan keuntungan dihadapinya.
“Macam gelang ini, dahulu harga akak beli satu 50 sen, sekarang RM1. Akak masih jual harga sama, satu RM4, tiga RM10. Boleh saja kalau nak naikkan harga jual satu RM5, tapi lambatlah laku. Harga sekarang ini pun ada juga yang minta kurang,” jelasnya.
Dengan perkiraan itu, kata Kak Ani, pendapatan bulanannya dianggar sekitar RM1,000. Kalau rezeki murah, paling tinggi boleh diraihnya adalah hampir RM2,000. Dengan hasil sebanyak itu dia menyara empat orang anak bersama suaminya yang kini kurang upaya akibat kemalangan beberapa tahun lepas.
Wanita yang genap usia 40 tahun ini berasal dari Thailand, sebelum berpindah ke Terengganu dan bekerja sebagai tukang masak di sebuah sekolah pondok. Di sana, dia bertemu suaminya yang berasal dari Melaka dan mengaji di sekolah itu. Selepas mereka berkahwin, pasangan itu bermastautin di Melaka sejak 2004.
Sebelum ini, suaminya ada melakukan kerja tambahan selain membantunya berniaga. Namun keadaan kakinya kini yang sudah dipasang besi dan jalannya dengkot menyebabkan dia tidak lagi dapat membuat kerja-kerja berat. Ketika Kak Ani menjaga kedainya, suaminya bertanggungjawab menguruskan hantar ambil anak bersekolah.
Anaknya dua lelaki, dua perempuan. Paling tua menduduki Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) tahun ini, yang kedua berusia 14 tahun yang ketiga menduduki Ujian Penilaian Sekolah Rendah (UPSR) tahun ini dan yang keempat berusia empat tahun, yang sering menjadi peneman Kak Ani ketika berniaga.
Kak Ani mengaku, memang pendapatannya menjual cenderamata semata tidak cukup untuk tampung perbelanjaan mereka sekeluarga setiap bulan. Mujur ada bantuan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) membolehkan mereka terus bernafas.
Tetapi tidak banyak. Bantuan diperoleh secara bulanan sekadar barangan dapur bernilai RM200, bantuan perbelanjaan persekolahan anak-anak RM50 dan pakaian serta beg sekolah yang diperoleh pada awal tahun, dan bantuan OKU RM400. Kata Kak Ani memang cukup-cukup makan sahaja, dengan keadaan ekonomi ketika ini.
“Apa pun mesti ada hitung-hitung dulu baru belanja. Kalau meniaga elok sikit, ada duit lebih sikit, bawa anak-anak pergi makan sedap sikit macam KFC ke.
“Kadang-kadang ada ketika sampai tak ada duit langsung, selalunya bulan satu anak-anak nak masuk sekolah kan. Terpaksalah pinjam duit kakak yang duduk di Terengganu. Dia ada kedai makan di sana, nasib baik dia faham.
“Berjalan-jalan memang taklah. Akak cakap betul, memang tak pernah bawa anak jalan-jalan. Hujung minggu mereka cuti, datang jalan-jalan sini sahajalah, pergi Mahkota Parade ke Dataran Pahlawan ke,” ceritanya.
Apabila saya memberitahunya bahawa saya dari Kuala Lumpur, ungkapan spontan terpacul keluar daripada mulut Kak Ani ... “dah lama tak pergi KL.”
Sambil kami berbual, sesekali ditegur pelancong yang melintasi mejanya. Hari ini memang orang tak ramai.
Tiba-tiba datang seorang pemandu pelancong menegur Kak Ani, membawa bersama segerombolan pelajar sekolah, ramainya perempuan dan bertudung labuh. Mereka dari Narathiwat.
Mula-mula hanya tiga ke empat orang pelajar membelek cenderamata jualan Kak Ani.
Akhirnya seluruh kumpulan sekitar 10 orang pelajar itu membeli rantai tangan dan meminta dilukis nama masing-masing padanya. Tak menang tangan Kak Ani dibuatnya, sambil dia melayan anak-anak Narathiwat itu berbual dalam bahasa Siam disulam bahasa Melayu dialek Kelantan.
“Terima kasih deh, jumpo lagi!” kata Kak Ani dengan senyuman lebar sambil melambai selesai melayan mereka yang berlalu pergi.
“Macam ini lah dik, nasib-nasib saja. Kalau ada rombongan sekolah, ada lah rezeki akak,” sambil dia bangun menyusun atur kembali barangan di atas mejanya sebelum kami menyambung perbualan.
Kak Ani menetap di sebuah rumah pangsa kos rendah di bawah Majlis Agama Islam Melaka (MAIM) iaitu Rumah Pangsa Pantai Peringgit di Melaka Tengah yang sewanya RM200 setiap bulan. Sekitarnya cukup dengan keperluan seperti Kedai Rakyat 1Malaysia (KR1M), klinik, dekat dengan Pusat Tansformasi Bandar (UTC) dan terminal Melaka Sentral.
Setiap hari Kak Ani berulang alik dari rumahnya ke Banda Hilir yang jaraknya sekitar empat kilometer untuk berniaga menaiki motosikal, satu-satunya kenderaan dimiliki.
Di atas Bukit St. Paul itu Kak Ani menghabiskan waktu setiap hari. Kebiasaannya kedai akan dibuka sekitar jam 11 pagi, dan tutup apabila dirasakan sudah tiada lagi pengunjung menuju senja.
“Nak kata macam mana ya, dah biasa lah hidup begini. Kalau nak meminta-minta pun tak biasa, lagipun tak tahu macam mana dan ke mana hendak dituju.
“Mereka (pihak bertanggungjawab) ada senarai nama kita (golongan susah). Tapi itu lah, kalau boleh lebih sikit bantuan tu. Macam suami akak OKU dapat RM400 seorang sebulan, kalau boleh naikkanlah untuk yang berkeluarga.”
“Ada juga terfikir nak buat benda lain, minat nak bukak kedai makan. Tapi itu lah, memikirkan nak sewa kedai, nak bayar gaji pekerja. Masak akak boleh buat, tapi macam mana kalau kedai tak laku? Di sini tempat nak kena betul, kalau tak, tak ada orang datang,” ceritanya.
Seketika kemudian tiba seorang lelaki kurus di meja jualannya. Mengah nafasnya menapak anak tangga bukit.
“Ha ... dah sampai pun. Inilah suami akak,” kata Kak Ani.
Rais Tahir, 47 tahun, terus melabuhkan punggungnya ke atas bangku dan bersandar pada pagar besi di belakangnya. Katanya baru selesai ambil anak dari sekolah, dihantar ke rumah dan sampai ke sini untuk membantu Kak Ani menutup kedai.
Sambil dia berehat seketika dan mula menyalakan sebatang rokok, sempat saya berborak dengannya, bertanya sedikit sebanyak tentang keadaan dirinya, kehidupannya, kawasan kediamannya dan negeri kelahirannya. Cuit juga sedikit berkenaan isu setempat.
“Alhamdulillah semua OK. Kerajaan dah buat macam-macam.
“Dulu masa saya duduk Terengganu, saya merasa ketika Pas pegang sebelum Barisan Nasional (BN) ambil alih. Bukan nak kata apa, BN lagi baik.
“Melaka ini pun setakat ini tak ada masalah bawah BN. Susah BN nak kalah di sini. Kalau pun berubah, lebih baik orang kita (orang Melayu) yang pegang,” ceritanya dengan penuh ekspresi pada wajah, diselangi hembusan asap daripada mulut yang kelihatan tidak lagi bergigi itu.
Ditanya mengundi di mana pada 9 haribulan nanti, dengan bersahaja abang Rais menjawab bahawa dia tidak pernah mengundi.
“Meniaga begini, macam mana dik. Sebetulnya boleh, tapi tak ada masa,” sambung Kak Ani pula, yang sudah mula membuka beg besar untuk berkemas.
Habis sebatang rokok, hari pun mulai gelap.
Sambil duduk abang Rais mencapai barangan di atas meja dan disusun rapi sebelum memasukkannya ke dalam beg. Kak Ani pun memanggil anak bongsunya yang sejak tadi bermain dengan rakan peniaga lain di sekitar itu.
Begitulah setiap hari Kak Ani dan suami demi sesuap nasi, sebagai penjual cenderamata di Kota A Famosa.
Israr Khalid
Fri Apr 13 2018
Rohani (kanan) sudah berniaga cenderamata di atas Bukit St.Paul sejak 12 tahun lalu, dan inilah satu-satunya mata pencariannya. - Foto Astro AWANI/Israr Khalid
Pantau Agenda Reformasi: Kedudukan semasa ekonomi Korea Selatan, dampak kepada Malaysia
Bagaimana boleh kita memahami kedudukan ekonomi Korea Selatan dan apa yang boleh kita belajar? Sejauh mana ia beri impak signifikan kepada rantau ini termasuk Malaysia?
Malaysia minta perolehan pesawat FA-50M dari Korea Selatan dipercepat - PM Anwar
Malaysia telah meminta perolehan 18 unit pesawat pejuang ringan FA-50M yang ditempah daripada syarikat pertahanan Korea Selatan dipercepatkan.
Palsu dokumen UMS: Rayuan akhir Peter Anthony ditangguh ke 9 Jan
Keputusan rayuan akhir Peter Anthony yang didapati bersalah memalsukan dokumen berhubung kontrak kerja di UMS ditangguhkan ke 9 Jan tahun depan.
Semak semula penambahan tiga jam waktu bekerja bagi jururawat
Ahli Parlimen Bentong, Young Syefura Othman menggesa agar KKM dan JPA menyemak semula keputusan yang mewajibkan tambahan tiga jam bekerja seminggu untuk jururawat wad mulai 1 Disember ini.
#SisiTVParlimen #AWANInews #DewanRakyat
#SisiTVParlimen #AWANInews #DewanRakyat
Paras air Sungai Golok di Tanah Merah melepasi paras bahaya
Sungai Golok di Jenob, Tanah Merah telah melepasi paras bahaya dengan ketinggian 25.15 meter (bahaya 23.50 meter) setakat 2.30 petang ini.
Penamatan SSA DNB-TM: Akses 5G pengguna tidak terjejas - Gobind
Beliau berkata perjanjian akses 5G antara DNB dan TM yang dimeterai pada 30 Okt 2022 adalah masih terpakai.
Hamas nyatakan sokongan kepada usaha tamatkan konflik
Hamas menyatakan bahawa pihaknya menyokong usaha merealisasikan perjanjian gencatan senjata di antara Israel dan Hezbollah bagi menamatkan konflik yang berlarutan di Lubnan ketika ini.
Pihak berkuasa Indonesia perhebat operasi SAR di Sumatera Utara
Pihak berkuasa Indonesia terus memperhebat operasi mencari dan menyelamat (SAR) dalam usaha mencari 15 mangsa yang dilaporkan maut dalam tragedi tanah runtuh dan banjir kilat yang melanda Sumatera Utara pada Sabtu.
AWANI Ringkas: MetMalaysia keluar amaran hujan sangat lebat berterusan
Ikuti rangkuman berita utama yang menjadi tumpuan sepanjang hari di Astro AWANI menerusi AWANI Ringkas.
Sanusi kata ada komplot gagalkan pelaburan, saya tetap sokong Hyundai masuk ke Kedah – PM
Perdana Menteri menegaskan adalah keputusannya untuk membawa masuk pelaburan syarikat permotoran gergasi Korea Selatan, Hyundai Motor untuk bertapak di Kedah.
PRU14: Ini kisah penjual cenderamata di Kota A Famosa
Tidak pernah putus pengunjung dari dalam dan luar negara ke tapak bersejarah yang dahulunya sebahagian daripada Kota A Famosa binaan Portugis ketika detik awal episod penjajahan di tanah bertuah ini.