KUALA KANGSAR: Pelbagai aktiviti pelancongan, kreativiti seni dan kebudayaan dianjurkan Pertubuhan Wawasan Pelancongan, Kreativiti dan Kebudayaan Malaysia (PROTAC) sebagai usaha menonjolkan warisan budaya serta mempromosikan kawasan pelancongan menarik dalam negara.

Pengerusi PROTAC Datuk Mohamad Kamil Shafie berkata pertubuhan yang diwujudkan sejak Mei lepas itu telah menganjurkan pelbagai program antaranya pameran seni lukis, promosi kawasan pelancongan selain program untuk mengetengahkan bakat baharu dalam bidang seni budaya.

"Kita (PROTAC) dalam perancangan untuk menganjurkan karnival budaya dan pelancongan di Kuala Kangsar pada Disember depan selain mahu menerbitkan buku mengenai keunikan warisan kebudayaan," katanya selepas majlis pelancaran pertubuhan itu di sini semalam.

Majlis tersebut disempurnakan oleh Pengerusi Jawatankuasa Komunikasi, Multimedia dan Pertubuhan Bukan Kerajaan (NGO) Perak Mohd Azlan Helmi.

Sementara itu, Mohd Azlan dalam ucapannya berkata penubuhan PROTAC adalah satu langkah strategik yang penting dalam usaha memangkin pertumbuhan industri pelancongan.

"Dengan adanya PROTAC, kita berharap dapat memperkasakan kerjasama antara sektor awam dan swasta seterusnya memperkukuh rangkaian pelancongan dan meningkatkan promosi destinasi menarik.

"Saya yakin dengan kerjasama dan komitmen yang berterusan, PROTAC akan menjadi pemangkin utama dalam usaha kita memajukan industri pelancongan dan budaya negara," katanya.

-- BERNAMA