IPOH: Proses pemuliharaan dokumen khususnya yang berusia lebih separuh abad memerlukan fokus serta ketelitian tajam bagi mengelakkan kerosakan fizikal dokumen terbabit, agar boleh terus dirujuk oleh pihak berkepentingan dan disimpan sebagai khazanah negara.
Pembantu Pemuliharaan Kanan Arkib Negara Malaysia (ANM) Perak Mohd Ridzalman Mohd Rejab, 46, yang berpengalaman lebih 13 tahun dalam bidang tersebut berkata proses itu memerlukan tahap kesabaran tinggi.
"Banyak daripada dokumen-dokumen lama ini kertasnya mudah rapuh dan ada juga yang telah terkoyak, berlubang dan sebagainya, disebabkan keberadaan di tempat yang tidak sesuai.
"Jadi, tugas kita adalah untuk kenal pasti terlebih dahulu material dokumen atau surat tersebut sebelum proses pemuliharaan dilakukan dengan sempurna tanpa sebarang kecacatan," katanya ketika ditemui Bernama di Pejabat ANM Perak, di sini.
Bapa tiga cahaya mata yang berasal dari Gerik itu berkata pada peringkat awal pihaknya akan mengenal pasti sama ada dokumen berkenaan mengandungi unsur asid atau sebaliknya.
"Kalau ada asid, kita akan buang asid itu sama ada melalui proses rendaman atau semburan. Jika rendaman kita akan gunakan larutan magnesium karbonat manakala semburan kita pakai cecair dikenali sebagai 'Bookkeeper'.
"Kita perlu hilangkan asid ini adalah kerana ia punca kertas mudah reput," katanya dan menambah langkah itu turut memastikan dakwat 'tidak mengembang' pada helaian kertas.
Selesai proses tersebut, setiap helaian kertas perlu pula melalui proses tisu, jemuran dan mampatan.
Beliau menjelaskan proses tisu melibatkan tampalan tisu khas 'L2 Tissue' yang mengandungi larutan sejenis sebatian selulosa untuk pengawetan manakala bahagian bawah kertas dilekatkan kertas khas iaitu 'Japanese Handmade Paper' yang mengandungi larutan sama.
"Selepas itu, baru ke proses jemuran serta mampatan menggunakan mesin mampat yang berfungsi meratakan kertas supaya tidak menggelembung," katanya.
Menurut Mohd Ridzalman, sehelai dokumen perlu menjalani proses pemuliharaan selama sekurang-kurangnya empat atau lima hari sebelum boleh disimpan sebagai bahan rujukan yang memenuhi piawaian.
Beliau berkata proses itu juga adakalanya perlu digabungkan dengan proses penjilidan bagi dokumen berbentuk buku, majalah dan akhbar.
"Itu yang saya katakan, proses ini rumit sebenarnya dan hampir 90 peratus menggunakan kaedah manual. Jadi ia memerlukan masa untuk menyiapkan sesuatu dokumen.
"Penjilidan pula biasanya membabitkan kerja menjahit dan menjilid serta meletakkan tajuk bahan arkib. Secara umum, jenis jahitan yang akan dibuat adalah semat tulang, tusuk tepi, tebar, French Sewing, lintang, atas pita dan atas tali kod," katanya.
Mengulas lanjut, beliau berkata semua dokumen tersebut ditempatkan di gedung penyimpanan rekod di ANM Perak dan setakat ini lebih 100,000 dokumen membabitkan warta kerajaan negeri, sijil kewarganegaraan dan sebagainya tersimpan rapi di situ.
"Setiap dokumen yang telah dipulihara dan dijilidkan boleh bertahan atau kekal sempurna dalam tempoh 25 tahun dan ke atas bergantung kepada kaedah penyimpanannya," kata Mohd Ridzalman
Sementara itu, Pengarah ANM Perak Shahida Mohamad Salleh berkata Unit Pemeliharaan dan Pemuliharaan di bawah jabatan berkenaan bertanggungjawab melaksanakan kerja-kerja restorasi bahan arkib melibatkan 1,667 agensi kerajaan di Perak.
Beliau berkata tugas itu amat mustahak bagi memastikan dokumen atau naskhah yang mempunyai kepentingan serta nilai sejarah dapat disimpan dan menjadi rujukan penyelidik serta generasi akan datang.
"Antara naskhah penting yang tersimpan rapi di sini adalah seperti surat khabar Malay Mail yang diterbitkan pada 31 Ogos 1957, sijil kerakyatan bagi kaum Cina dan India sejak tahun 1950an, koleksi Surat Persendirian (SP) bekas Mufti Perak Allahyarham Tan Sri Harussani Zakaria serta Raja Billah yang dikenali sebagai kerabat Diraja Mandailing," katanya.
Shahida berkata pihaknya juga sentiasa melakukan lawatan, pameran serta ceramah berkaitan kepentingan memperkasa pemeliharaan dan pemuliharaan dokumen terutamanya di jabatan kerajaan.
"Dalam semua sesi itu kita ada terangkan dan minta setiap daripada jabatan itu untuk buat pemindahan rekod penting terutama sebelum tahun 1948 ke ANM Perak untuk proses pemeliharaan dan pemuliharaan," katanya.
-- BERNAMA
Bernama
Tue Feb 20 2024
Mohd Ridzalman melakukan proses nyah asid melalui proses rendaman di Bangunan ANM Perak, Meru Raya, Ipoh. - Gambar/ Bernama
Banjir Raub pulih sepenuhnya
Seramai 89 mangsa daripada 28 keluarga masih berada di dua pusat pemindahan sementara di daerah Lipis.
Apple beri sebab kenapa tidak akan bangunkan enjin carian tersendiri
Apple memilih untuk bekerjasama dengan Google, yang membayar sekitar $20 bilion untuk menjadi enjin carian utama pada peranti Apple.
Perjanjian gencatan senjata Gaza ditangguh
Kumpulan Palestin, Hamas berkata bahawa perjanjian gencatan senjata dan pertukaran tahanan di Gaza ditangguhkan akibat syarat baharu yang ditetapkan oleh Israel.
Dua beranak maut, empat cedera dalam kemalangan di WCE
Dua beranak maut, manakala empat lagi cedera dalam kemalangan melibatkan dua kenderaan di Kilometer (KM) 212.3 Lebuhraya Pesisiran Pantai Barat (WCE) menghala ke selatan dekat Manjung, awal pagi Khamis.
Tsunami 2004: Tragedi hitam yang diingati warga Pulau Pinang
Tarikh 26 Disember 2004 akan sentiasa menjadi ingatan dalam kalangan penduduk Pulau Pinang apabila tsunami yang melanda negeri itu sehingga mengakibatkan jumlah korban yang ramai.
Penghantar barang mengaku tidak bersalah jadi keldai akaun
Muhammad Harizi Abu Bakar, 28, membuat pengakuan tersebut di hadapan Majistret Chia Huey Ting pada Khamis.
Tiada rakyat Malaysia terjejas akibat pergolakan di Mozambique - Wisma Putra
Suruhanjaya Tinggi Malaysia di Pretoria sentiasa berhubung dengan 20 rakyat Malaysia di Mozambique dan memantau keadaan dengan teliti.
[TERKINI] Banjir diramal landa sembilan jajahan Kelantan Ahad depan
Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) meramalkan kemungkinan berlaku banjir di sembilan jajahan di Kelantan dalam tempoh tiga hari bermula Ahad depan.
JPS menerusi kenyataan memaklumkan jajahan yang terlibat ialah Tumpat, Pasir Mas, Kota Bharu, Pasir Puteh, Bachok, Tanah Merah, Machang, Kuala Krai dan Jeli.
JPS menerusi kenyataan memaklumkan jajahan yang terlibat ialah Tumpat, Pasir Mas, Kota Bharu, Pasir Puteh, Bachok, Tanah Merah, Machang, Kuala Krai dan Jeli.
Perjanjian gencatan senjata Gaza ditangguh kerana syarat baharu Israel - Hamas
Tiada komen daripada kerajaan Israel mengenai kenyataan Hamas.
Touch n Go eWallet uji rekaan antara muka baharu
Kemas kini ini sedang diuji pada sejumlah kecil pengguna dan belum pasti jika akan diterapkan untuk semua pengguna.
Proses rumit awet khazanah negara
Proses pemuliharaan dokumen khususnya yang berusia lebih separuh abad memerlukan fokus serta ketelitian tajam bagi mengelakkan kerosakan fizikal dokumen terbabit.