KOTA BHARU: Semua projek penting di bawah kendalian Majlis Pembangunan Wilayah Ekonomi Pantai Timur (ECERDC) di Kelantan masih diteruskan biarpun mengalami kelewatan, kata Menteri Besar Datuk Ahmad Yakob.

Beliau berkata antara projek berkenaan ialah pembinaan Lebuh Raya Central Spine Road (CSR) yang dijangka siap pada 2025.

"Menerusi perbincangan hari ini, ECERDC menyatakan sedaya upaya memastikan kesemua projek dilaksanakan akan dapat disempurnakan mengikut jadual dan kesemua projek penting kendalian ECERDC di negeri ini tidak tergantung.

"Projek-projek ini tetap dilaksanakan tetapi mungkin mengalami kelewatan termasuk lebuh raya CSR yang menghubungkan Kota Bharu dengan Kuala Krai," katanya kepada pemberita selepas Majlis Apresiasi Program Pembangunan Modal Insan Wilayah Ekonomi Pantai Timur (ECER) di sini hari ini.

Turut hadir Ketua Pegawai Eksekutif ECERDC Datuk Baidzawi Che Mat dan Pengurus Besar PETRONAS Pantai Timur Mohamad Ahmad Shazly Ramli.

Ahmad berkata kerajaan Kelantan juga memberi perhatian terhadap projek pembangunan Kompleks Sukan Bukit Merbau meskipun ia bukan projek pembangunan di bawah ECERDC.

"Kita akan berusaha memastikan pembinaan kompleks sukan itu berjaya disiapkan dan boleh digunakan untuk penganjuran Sukan Malaysia (SUKMA) pada 2026," katanya.

Sementara itu, Baidzawi berkata setakat ini ECERDC sudah berjaya menarik nilai pelaburan sebanyak RM20.5 bilion untuk kebaikan rakyat Kelantan.

"Bagi tahun ini, kita jangka ECERDC akan mencapai nilai pelaburan komited sebanyak RM3 bilion yang akan membolehkan kita menyediakan sebanyak 3,250 peluang pekerjaan.

"Setakat Februari lepas, kita mampu mencapai RM1.1 bilion dalam pelaburan komited dan yakin ECERDC akan dapat mencapai sasaran pelaburan untuk tahun ini," katanya.

-- BERNAMA