MELAKA: Projek Bandar Universiti Yayasan Melaka (BUYMe) di Jalan Simpang Gading-Kesang Pajak di sini dijangka akan mula dibangunkan selewat-lewatnya akhir tahun ini.

Pengurus Besar Yayasan Melaka (YM) Datuk Mohd Ridhwan Mohd Ali berkata setakat ini pihaknya telah mengeluarkan 'permintaan untuk cadangan' (RFP) kepada pemaju yang berminat membangunkan projek pembangunan campuran di tanah keluasan 91.46 hektar di kawasan bersebelahan Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM).

"Kita telah buka RFP baru-baru ini kepada mana-mana pemaju yang ingin menjadi rakan usaha sama YM dan selepas hari raya, kita akan menyenarai pendek dan memilih mereka.

"Setakat ini, sebanyak 21 pemaju telah menunjukkan minat menjadi rakan usaha sama YM bagi membangunkan BUYMe dan mereka telah hadir mendengar taklimat pembangunan projek yang diadakan baru-baru ini," katanya kepada pemberita di sini malam tadi.

Beliau berkata demikian selepas Majlis Berbuka Puasa Bersama Yayasan Bank Rakyat yang turut dihadiri Pengurus Besar Yayasan Bank Rakyat Syaiful Rizal Abdul Ghani.

Pada majlis itu, sebanyak 120 anak yatim dan asnaf dari Parlimen Hang Tuah Jaya dan Masjid Tanah menerima sumbangan wang tunai RM150, beg sekolah dan makanan daripada Yayasan Bank Rakyat.

Mengulas lanjut, Mohd Ridhwan berkata hanya lima pemaju yang mempunyai rekod prestasi baik dan memberikan tawaran menarik akan disenarai pendek serta dikemukakan ke peringkat Ahli Lembaga Pengarah YM untuk dipilih sebagai rakan usaha sama membangunkan BUYMe.

Beliau berkata projek berkenaan akan dibangunkan secara berperingkat melibatkan dua fasa dengan fasa pertama membabitkan pembangunan 1,404 unit kediaman seperti rumah kos rendah, rumah sederhana rendah, rumah mampu milik, rumah teres, banglo dan kondominium di kawasan seluas 36.62 hektar.

Katanya fasa kedua pula membabitkan pembangunan kawasan industri di kawasan seluas 26.96 hektar.

Sebelum ini, media melaporkan majlis pecah tanah BUYMe yang pembangunannya membawa anggaran nilai pembangunan kasar (GDV) sebanyak RM627 juta kepada YM.

-- BERNAMA