SHAH ALAM: Program Vaksinasi COVID-19 Negeri Selangor (SCVP) dijangka bermula Julai ini sebagai pelengkap kepada Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan dalam usaha mempercepat pencapaian imuniti kelompok dalam kalangan penduduk negeri itu.

Menteri Besar Datuk Seri Amirudin Shari berkata kerajaan negeri akan bersama-sama Jawatankuasa Petugas Khas Imunisasi COVID-19 (CITF) dan Kementerian Kesihatan untuk membincangkan pelan itu dan melaraskan data penerima vaksin agar selari dan sejajar dengan program imunisasi kebangsaan.

Beliau berkata pelaksanaan SCVP tidak akan membebankan sistem kesihatan awam di Selangor kerana terdapat lebih 1,000 klinik Pengamal Perubatan Am Swasta (GP) di Lembah Klang di bawah program Peduli Sihat yang bersedia melaksanakan program vaksinasi, sama ada melalui Pusat Pemberian Vaksin (PPV), rumah ke rumah mahupun premis ke premis.

"Minimum kita mempunyai 1,000 doktor yang bertauliah untuk menyuntik vaksin dan kita akan mulakan Julai, tetapi ini semua bergantung perbincangan kita dengan CITF dan pihak kerajaan persekutuan kerana tidak mahu timbulkan sekali lagi kekeliruan dan kekacauan dalam kalangan penerima vaksin," katanya pada sidang media secara maya selepas mengumumkan Pakej Kita Selangor 2.0 di sini pada Rabu.

Dalam pada itu, Amirudin berkata di bawah Pakej Kita Selangor 2.0 dalam usaha mengekang penularan COVID-19, kerajaan negeri akan terus proaktif dengan melaksanakan Ujian Saringan COVID-19 Komuniti Fasa Ketiga dengan sasaran 100,000 saringan di seluruh Selangor secara percuma.

"Selain itu, Inisiatif 'Home Assessment Kit' ataupun kit penilaian rumah akan disediakan bagi mereka yang telah dikesan positif melalui ujian saringan yang dilaksanakan.

"Kit ini akan mengandungi pelitup muka KN95, termometer, oksimeter, ubat-ubatan dan kit ujian air liur yang akan membantu pesakit yang sedang dikuarantin menilai keadaan kesihatan mereka dengan bantuan petugas kesihatan daripada Pejabat Kesihatan Daerah (PKD) melalui aplikasi SELangkah," katanya.


Bagi menggalakkan dan memudah cara mereka yang akan menerima vaksin di Selangor terutama golongan warga emas, Amiruddin berkata kerajaan negeri menjalin kerjasama dengan syarikat e-panggilan Grab, dengan menyediakan pemberian rebat sebanyak RM20 bagi perkhidmatan untuk tujuan perjalanan mendapatkan suntikan vaksin.

"Kerajaan negeri juga akan menyelaras bantuan pengangkutan bagi mereka yang berada jauh dari Pusat Pemberian Vaksin melalui Pusat Khidmat Masyarakat di setiap DUN," katanya.

-- BERNAMA