Beliau berkata perkara itu disebabkan disiplin tinggi pelajar program Tahfiz TVET@Kolej KEDA yang turut mendorong membentuk akhlak dan tingkah laku pelajar lain di kolej tersebut terutama dalam aspek komunikasi dan perhubungan.
"Anak-anak pelajar tahfiz ini mempunyai disiplin diri yang tinggi dan oleh kerana tugasan harian mereka membawa wahyu Allah, tiap-tiap hari mereka hafal al-Quran.
"Jadi perubahan yang saya nampak bila anak-anak ini masuk bersama dengan kita (Kolej KEDA), pelajar lain tiada masalah disiplin yang banyak sangat dan lebih cepat belajar," katanya kepada pemberita selepas Majlis Lambaian Kasih Memori Terindah dan Kolaborasi Rakan Strategik Kolej KEDA 2024 di sini hari ini.
Sementara itu, pelajar Tahfiz TVET@Kolej KEDA Ahmad Farhat Faizal Sufian, 19, berkata ini merupakan kali ketiga dia menyertai program berkenaan.
"Sebelum ini saya belajar dalam bidang automotif dan kali ini saya memilih kimpalan, tempoh pengajian selama enam bulan dengan dalam seminggu hanya dua hari belajar jadi tidak mengganggu waktu untuk menghafaz. Setakat ini saya masih berusaha menghafaz 10 juzuk," katanya.
Seorang lagi pelajar Nurul Aqilah Muhamad Zakir, 18, berkata dia berhasrat menyertai program berkenaan untuk kali kedua tahun hadapan.
"Saya baru menyertai sekolah tahfiz di Pendang, bila dapat tahu ada program TVET ini saya terus daftar untuk sertai program kulinari. Banyak pengalaman yang diraih dan saya mahu sertai lagi tahun hadapan untuk mendalami lagi ilmu dalam bidang ini," katanya.
Terdahulu pada majlis itu, sebanyak 192 graduan Kolej KEDA menerima sijil masing-masing dengan turut diraikan, 80 pelajar dari 10 buah pusat tahfiz di negeri ini yang selesai menjalani program Tahfiz TVET@Kolej KEDA 3.0.
-- BERNAMA