Menteri Pengangkutan Anthony Loke memaklumkan satu program khas peralihan akan diperkenalkan kepada pemegang LMM kelas B1 dan B2 untuk beralih dan mendapatkan LMM kelas B.
"Syarat-syarat bagi menduduki program peralihan ini adalah seperti berikut. Yang pertama, individu telah memegang LMM kelas B1 atau B2 secara aktif untuk tempoh berterusan minimum 10 tahun.
"Syarat ini bagi memastikan tahap kompetensi dan pengalaman pemanduan kenderaan motosikal bagi mana-mana individu sebelum beralih kepada motosikal berkuasa besar.
"Kita telah membuat keputusan bukan untuk mengehadkan umur, tetapi kepada tempoh pengalaman mereka iaitu sekurang-kurangnya mesti ada 10 tahun pengalaman membawa motosikal dalam kelas B2 secara berterusan," katanya.
Selain itu, katanya lagi, pemohon juga hendaklah bebas daripada sebarang senarai hitam, tunggakan saman, sekatan urus niaga, rekod sabitan kesalahan berat atau sebarang perkara belum selesai di bawah Akta 333.
Pengesahan sihat tubuh badan/fizikal/minda secara deklarasi kendiri oleh individu, menghadiri dan lulus program peralihan dan penyesuaian ke kenderaan motosikal berkuasa 500cc ke atas di IM.
Ini melibatkan program amali penunggangan, informasi pemanduan selamat dan informasi pemanduan/pengoperasian motosikal berkuasa besar untuk tempoh 2 jam.
"Pengesahan tahap keupayaan mengendalikan motosikal berkuasa besar oleh Qualified Training Officer (QTO) di IM.
"Pengesahan ini amat penting bagi memastikan tahap kompetensi dan keupayaan seseorang mengendalikan motosikal berkuasa besar demi meningkatkan tahap keselamatan pemanduan individu tersebut," katanya.
Bagi tujuan ini, satu caj perkhidmatan sejumlah RM160 akan dikenakan kepada mana-mana calon bagi menampung kos operasi yang terlibat di institut memandu (IM).
Menurutnya lagi, pihak JPJ sedang di fasa akhir persiapan bagi memperkenalkan program peralihan berkenaan, termasuk melaksanakan semua perubahan sistem dan penyelarasan dengan pihak IM.
Permohonan bagi menjalani program peralihan ini dijangka dibuka kepada umum mulai 1 Oktober 2024.