JOHOR BAHRU: Seorang lelaki warga emas terbuka hati untuk mengaplikasikan penggunaan dron dalam perancangan ladang kelapa sawit dan kebun sayur yang ingin diusahakannya, selepas teruja mendengar kelebihan fungsi peralatan itu pada program Jelajah Aspirasi Keluarga Malaysia (AKM) di sini.

Sebelum itu, pengetahuan Muhammad Suradi, 62, dari Taman Puteri Indah, Batu Pahat terhadap dron agak terbatas kerana sekadar mengetahui fungsinya untuk membantu pihak berkuasa merakam imej secara menyeluruh melalui ruang udara.

Malah, bapa kepada empat anak itu mengakui tidak pernah melihat secara lebih dekat jenis dron yang diguna pakai dan dijual di pasaran ketika ini.

"Saya cuma tahu sikit-sikit, tidak berapa jelas tentang kegunaannya.

"Sekarang baru saya faham bahawa fungsi dron meluas, tidak hanya memudahkan operasi penyelamatan pasukan keselamatan, tetapi juga boleh diguna untuk menganalisis keadaan tanah pertanian yang bermasalah.

"Bersesuaian dengan perancangan masa depan, saya mungkin akan menggunakannya bagi memetakan kawasan kebun sayur dan ladang sawit yang ingin diusahakan agar dapat mengeluarkan hasil tanaman pada tahap maksimum," katanya ketika ditemui di tapak AKM di Dataran Angsana, Johor Bahru Mall pada Jumaat.

Bagi Ibnoe Adha Elnaviri Nursal Alland, 27, pendedahan dron pada siri jelajah terbabit membantunya membuat keputusan untuk membeli peralatan bersesuaian dengan kemampuan kewangannya.

"Tidak hanya menyentuh fungsi dron, penceramah juga menerangkan tentang jenis-jenis dron yang terdapat dalam Malaysia dan kaedah penggunaannya sekali gus menjadikannya pengalaman bermakna kepada saya yang boleh dianggap orang yang baru mula belajar.

"Saya harap taklimat dan ceramah seperti ini terus diadakan lebih kerap kepada masyarakat agar lebih ramai tahu fungsi sebenar dron," katanya yang merupakan pegawai perkhidmatan pekerjaan.

Sementara itu, penceramah program yang juga pensyarah Politeknik Ibrahim Sultan, Pasir Gudang Chok Khong Yu berkata trend penjualan dron semakin meningkat dan ia menandakan orang ramai sudah mula meneroka potensi peralatan itu dalam pelbagai bidang.

Katanya dron terdiri daripada pelbagai jenis seperti single roto helicopter, multi roto helicopter dan fixed wing hybrid vertical take-off and landing (VTOL), mempunyai resolusi kamera berbeza mengikut harga dan spesifikasi ditetapkan.

Jelajah AKM yang berlangsung hingga esok merupakan kesinambungan kepada kejayaan Program 100 Hari AKM di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur pada Disember lepas.

-- BERNAMA