Kementerian Kesihatan Malaysia tidak lagi membenarkan penjualan dua produk kosmetik keluaran Vida Beauty Sdn Bhd yang dikesan mengandungi merkuri.

Dalam satu kenyataan, Kementerian Kesihatan hari ini menasihatkan orang awam agar mengelakkan pembelian dan penggunaan Qu Puteh Whitening Pro 9 dan Qu Puteh UV Block kerana didapati mengandungi merkuri, salah satu racun berjadual yang tidak dibenarkan dalam produk kosmetik.

Biro Pengawalan Farmaseutikal Kebangsaan (BPFK) telah menerima laporan pengguna yang mengalami masalah pendengaran dan keguguran rambut selepas menggunakan dua produk berkenaan dalam tempoh tiga bulan.

Pendedahan terhadap merkuri juga boleh menyebabkan kerosakan buah pinggang, sistem saraf, serta ruam dan iritasi kepada bayi yang terhidu bahan berkenaan.


Kenyataan media Kementerian Kesihatan berkenaan dua produk Qu Puteh yang disahkan mengandungi merkuri


Kementerian Kesihatan turut meminta penjualan dan pengedaran produk berkenaan dihentikan kerana tindakan tersebut melanggar Peraturan-Peraturan Kawalan Dadah dan Kosmetik 1984.

Menurut The Brunei Times, Kementerian Kesihatan Brunei turut melarang penjualan dua produk tersebut dan satu lagi produk Qu Puteh, kapsul Chantique Beauty Slimming Herbal yang didapati mengandungi spironolactone.

Sebelum ini, beberapa produk syarikat tempatan seperti D'Qistee Night Cream dan SF Beauty Night Cream telah dilarang penjualannya kerana mengandungi merkuri.