KUALA TERENGGANU: Berbaki kurang dari 24 jam untuk pengundian awal Pilihan Raya Negeri (PRN), polis mengesahkan menerima satu laporan ke atas seorang calon Pas bagi Dewan Undangan Negeri (DUN) di Terengganu.

Ketua Polis Terengganu, Datuk Mazli Mazlan berkata siasatan ke atas calon itu dibuat mengikut Seksyen 498 Kanun Keseksaan kerana memikat atau membawa pergi atau menahan seseorang perempuan yang bersuami dengan niat jenayah.

Beliau turut memaklumkan, siasatan masih lagi di peringkat awal.

“Laporan sudah diterima dan siasatan sedang dijalankan polis,” katanya ketika dihubungi Astro AWANI di sini, pada Isnin.

Mazli memberitahu, ahli politik terbabit juga telah dipanggil untuk direkodkan kenyataan.

Seksyen 498 Kanun Keseksaan itu memperuntukkan hukuman penjara hingga dua tahun atau denda atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.