PADA 13 November 2021, Astro AWANI menyiarkan data yang memaparkan keputusan Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14), serta barisan calon yang akan bertanding dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka 2021 bagi beberapa kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN).

Paparan data itu mengandungi ralat, di mana susunan calon Pakatan Harapan dipaparkan bersama bendera parti masing-masing, iaitu Parti Keadilan Rakyat (PKR) dan Parti Tindakan Demokratik (DAP).

Manakala calon-calon lain yang berada di dalam paparan grafik yang sama, dipaparkan bersama bendera gabungan mereka iaitu Perikatan Nasional dan Barisan Nasional, dan bukan bendera parti masing-masing.

Kami kemudian diberitahu mengenai ketidakseragaman data ini oleh komuniti media sosial.

Kami ingin berterima kasih kepada semua yang mengetengahkan ketidakseragaman ini kepada kami dan ingin memohon maaf kepada semua atas ralat ini.

Bergerak ke hadapan, segala langkah juga telah diambil bagi memastikan setiap perkongsian data mengenai calon yang bertanding akan dipaparkan secara seragam, sama ada dalam bentuk bendera parti atau gabungan.

Para pengundi di Melaka diingatkan bahawa setiap calon parti (tidak termasuk calon bebas) akan bertanding di bawah gabungan berikut dalam PRN akan datang:

Komposisi setiap parti komponen dalam gabungan masing-masing.

Hari pengundian PRN Melaka akan berlangsung pada 20 November ini, dengan hari pengundian awal berlangsung pada 16 November.

Para pengundi disaran untuk mendapatkan gambaran jelas bagi calon pilihan mereka, berdasarkan senarai di atas.

Astro AWANI akan terus membentangkan statistik serta data-data penting bagi menelusuri PRN Melaka dari semua sisi.

Pastikan anda mengikuti rancangan Melaka Memilih jam 4.00 petang serta AWANI 7:45 setiap hari di mana kami akan rangkumkan statistik dan segala perkembangan terkini menuju hari pengundian PRN Melaka pada 20 November ini.

Anda juga boleh layari laman web mikro Melaka Memilh kami di https://pulse.astroawani.com/prn-melaka bagi mendapatkan lebih banyak rangkuman data serta maklumat terkini mengenai PRN Melaka.