CHUKAI: Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menjangkakan peratusan keluar mengundi bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Kemaman, esok, boleh mencapai sehingga 70 peratus.

Pengerusi SPR Tan Sri Abdul Ghani Salleh berkata jangkaan itu, bagaimanapun bergantung keadaan cuaca hujan yang melanda Pantai Timur termasuk di Kemaman ketika ini.

"Cuaca esok diramalkan ada sedikit hujan dan insya-Allah di kawasan Kemaman ini, kita bersedia dan dijangka tidak ada bahagian yang akan naik air.

"Harapan saya diminta sangat-sangat pengundi Kemaman dapat keluar mengundi dan kita harap peratusan keluar mengundi dapat ditingkatkan lebih kurang 70 peratus," katanya kepada media selepas meninjau persiapan akhir pengundian PRK Kemaman di Majlis Perbandaran Kemaman hari ini.

Laman sesawang Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) melaporkan hujan berterusan dijangka melanda daerah Kemaman dari pagi sehingga petang.

Dalam pada itu Abdul Ghani berkata sebanyak 49 pusat mengundi, akan dibuka 8 pagi esok di empat daerah Kemaman melibatkan 244 saluran.

Sementara keputusan penuh PRK Kemaman hanya akan diketahui seawal 9 malam.

Abdul Ghani berkata SPR juga telah melaksanakan persediaan sekiranya berlaku banjir, mahupun bekalan elektrik putus di mana-mana pusat pengundian.

"Alhamdulillah hari ini persiapan berjalan lancar dan saya ingatkan pengundi esok supaya bawa kad pengenalan masing-masing dan keluar mengundi pada waktu yang digalakkan.

"Nasihat saya buat calon dan pengundi jangan pakai baju, payung yang tidak dibenarkan dan pakai pakaian biasa yang sopan, kita harap semua ikut arahan seperti yang ditetapkan," katanya.

-- BERNAMA