Tinjauan mendapati proses pengundian di 14 pusat mengundi yang dibuka sejak 7.30 pagi tadi berjalan lancar dalam keadaan cuaca yang baik.
Sebanyak 11 pusat pengundian akan ditutup pada 5.30 petang ini manakala tiga lagi pada 4 petang.
Proses penjumlahan rasmi undi akan dilakukan di Dewan Suarah di sini.
Jumlah keseluruhan pengundi di DUN itu ialah 22,804 orang yang terdiri daripada 22,761 pengundi biasa dan 43 anggota polis.
Pengerusi SPR Tan Sri Abdul Ghani Salleh turut meninjau proses pengundian di Sekolah Kebangsaan Kampung Jepak pada 8.50 pagi.
Abdul Ghani sebelum ini menjangkakan peratusan keluar mengundi pada PRK itu mencapai 65 peratus dengan keputusan dijangka diketahui pada 9 malam ini.
Sementara itu, menurut laman sesawang Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia), Bintulu diramal mengalami ribut petir di beberapa kawasan pada sebelah petang manakala hujan di beberapa tempat pada sebelah malam.
PRK DUN Jepak menyaksikan saingan tiga penjuru antara calon Gabungan Parti Sarawak (GPS) Iskandar Turkee, calon Parti Bumi Kenyalang (PBK) Stevenson Joseph Sumbang dan calon Parti Aspirasi Rakyat Sarawak (Aspirasi) Chieng Lea Phing.
-- BERNAMA