Aksi Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail sejurus diumum pemenang PRK DUN Kajang.
BANGI: PKR mengekalkan kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Kajang mengalahkan Barisan Nasional (BN) biarpun peratusan keluar mengundi merosot 16 peratus berbanding ketika Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU-13).
Calon PKR, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail menang dengan majoriti 5,379 undi kurang 1,445 undi berbanding PRU13.
Wan Azizah memperolehi 16,741 undi manakala calon BN Datin Paduka Chew Mei Fun mendapat 11,362 undi.
Keputusan tersebut diumumkan oleh Pegawai Pengurus Pilihan Raya Datuk Hassan Nawawi Abdul Rahman.
Peratusan keluar mengundi merosot 16 peratus berbanding PRU13 dimana sebanyak 28,314 atau 72 peratus daripada 39,278 pemilih berdaftar keluar mengundi.
Pada PRU13 sebanyak 87.9 peratus pengundi DUN tersebut menunaikan tanggungjawab mereka daripada jumlah keseluruhan 39,728 pengundi.
Pilihan raya kecil DUN Kajang diadakan selepas Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Kajang, Lee Chin Cheh dari PKR meletakkan jawatan tanpa sebab pada 27 Januari lepas.
Pada PRU-13 lalu, calon PKR, Lee Chin Cheh yang memperoleh 19,571 undi dan menang dengan majoriti sebanyak 6,824.
Calon BN, Lee Ban Seng menerima 12,747 undi, sementara Mohamad Ismail (Berjasa) 1,014 undi dan tiga calon Bebas lain mendapat kurang daripada 250 undi.