BEIJING: China sudah bersedia untuk bekerjasama dengan Malaysia untuk mempromosi tamadun Asia, menegakkan kemerdekaan strategik dan dengan tegas menolak mentaliti Perang Dingin dan konfrontasi blok, kata Presiden China Xi Jinping.

Xi berkongsi perkara ini dalam pertemuannya dengan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim pada Jumaat selepas menghadiri Forum Boao untuk Asia di wilayah pulau Hainan, menurut jurucakap Kementerian Luar China, Hua Chunying.

Anwar kini dalam rangka lawatan rasmi tiga hari ke China yang berakhir Sabtu.

Beijing dan Kuala Lumpur akan meraikan ulang tahun ke-50 hubungan diplomatik pada 2024.

"Kedua-dua pihak bersetuju untuk membangunkan komuniti China-Malaysia dengan masa depan bersama. Ini akan membuka lembaran baharu dalam hubungan dua hala," lapor Agensi Anadolu memetik kenyataan Hua.

Dalam perbincangan mengenai hubungan perdagangan dan ekonomi, Perdana Menteri (Anwar) menyentuh usaha kerajaan China menangani masalah kemiskinan di China "yang kini membuahkan hasil apabila hampir 800 juta orang bebas daripada belenggu kemiskinan."

Sementara itu, Hua berkata Xi turut mengadakan pertemuan dengan Perdana Menteri Singapura Lee Hsien Loong.

Xi berkata: "Rantau Asia telah membuka laluan pembangunan yang mengetengahkan kemerdekaan, saling menghormati, kesaksamaan, manfaat bersama, keterbukaan, keterangkuman dan kerjasama menang-menang dengan ciri Asia."

"Dalam dunia dengan perubahan besar yang berkembang pesat, kita perlu menghargai dan mempertahan momentum pembangunan yang diperoleh hasil kerja keras, menolak tegas hegemoni dan buli, dan tidak membenarkan mana-mana negara untuk melucutkan hak rakyat Asia untuk mengejar kehidupan yang lebih baik," kata Xi.

Dalam pertemuan dengan kedua-dua pemimpin itu, Xi turut membincangkan isu dua hala, serantau dan antarabangsa dengan tumpuan kepada "kemerdekaan" Asia.

-- BERNAMA