Presiden Persekutuan Bola Sepak Asia (AFC), Shaikh Salman Ebrahim Al Khalifa menyampaikan ucapan tahniah kepada Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah yang mengangkat sumpah sebagai Yang di-Pertuan Agong Malaysia yang baharu hari ini.

Shaikh Salman Ebrahim dalam ucapan tahniahnya itu berkata, ia merupakan satu hari yang amat penting untuk Al-Sultan Abdullah.

"Ucapan setinggi tahniah kepada Duli Yang Maha Mulia Al-Sultan Abdullah atas pelantikan sebagai Yang di-Pertuan Agong yang ke-16. Ini adalah hari yang menggembirakan Malaysia kerana mendapat Yang di-Pertuan Agong yang baharu, yang amat disayangi rakyat.

"Saya mengucapkan Duli Yang Maha Mulia Al-Sultan Abdullah yang terbaik dalam melaksanakan tugas dan tanggungjawab sebagai Yang di-Pertuan Agong. Saya yakin sumbangan Baginda akan memberikan manfaat kepada rakyat Malaysia di sepanjang lima tahun pemerintahannya," kata Shaikh Salman Ebrahim.

Al-Sultan Abdullah, seorang tokoh ikonik dalam bola sepak Malaysia dan Asia, terkenal dengan minat dan kepimpinannya dalam bola sepak dan beliau terus memainkan peranan penting dalam sukan itu sebagai anggota majlis FIFA dan anggota jawatankuasa eksekutif AFC.

Baginda juga merupakan bekas naib presiden AFC dan telah memegang pelbagai jawatan di AFC termasuklah, pengerusi jawatankuasa penganjur Piala Asia AFC 2015 dan juga pengerusi jawatankuasa pembangunan AFC.

Al-Sultan Abdullah juga merupakan presiden Persatuan Bolasepak Malaysia dari 2014 hingga 2017.

-- BERNAMA