SUBANG JAYA: Prasarana Malaysia Berhad (Prasarana) akan terus berusaha menyediakan lebih banyak produk atau promosi bagi menggalakkan lebih ramai orang menggunakan pengangkutan awam kendalian syarikat itu.

Ketua Pegawai Operasi Kumpulan (Strategi dan Pembangunan) Prasarana Dr Prodyut Dutt berkata perkara itu antara yang turut ditekankan Menteri Pengangkutan Anthony Loke kepada pihak pengurusan tertinggi Prasarana.

"Kami sentiasa melihat bagaimana kami boleh mengeluarkan lebih banyak produk selain daripada pas perjalanan seperti My50 dan MyCity...namun pada masa sama kita perlu akui bahawa tambang pengangkutan awam Malaysia adalah yang termurah di dunia," katanya ketika ditemui pada penganjuran program 'Destinasi Soul Station' di sini hari ini.

Selain MyCity dan My50 iaitu pas perjalanan tanpa had bagi perkhidmatan rel dan bas kendalian Prasarana, pemegang kad Orang Kurang Upaya (OKU) juga bakal menikmati tawaran tambang percuma bermula 1 Feb ini.

Mengenai penganjuran program itu yang berlangsung dua hari, Prodyut berkata ia adalah sebahagian usaha Prasarana untuk menggalakkan orang ramai menggunakan perkhidmatan bas dan rel ketika hadir ke sesuatu acara.

"Sebagai contoh, cara paling mudah untuk datang ke program Destinasi Soul Station ini adalah menggunakan perkhidmatan percuma (bas ulang-alik) dari Stesen LRT Subang. Mungkin dulu (pengguna) tidak menggunakan pengangkutan awam, tapi dengan cara ini mereka akan ada pengalaman baharu.

"Diharapkan, ia akan mengubah minda orang ramai untuk menggunakan pengangkutan awam dalam kehidupan harian mereka," katanya.

Destinasi Soul Station yang diadakan di PARC, Subang menyediakan lebih 30 gerai jualan makanan dan kraf tangan selain aktiviti menarik seperti melukis graffiti, melukis jubin dan persembahan artis tempatan.

-- BERNAMA