JURU: Sebuah pertubuhan bukan kerajaan (NGO) kesihatan yang berpusat di negeri ini, One Hope Charity & Welfare merintis inisiatif kreatif mengendalikan Pusat Pemberian Vaksin (PPV) berkonsepkan dalam taman.

Selain muncul sebagai NGO pertama berbuat demikian, PPV itu juga mencatat sejarah sebagai yang pertama dalam negara menawarkan suntikan vaksinasi kepada orang ramai.

PPV percuma itu dibangunkan NGO itu di Shop-in d’Park Autocity Juru, di sini yang bertujuan memberi ketenangan kepada mereka yang akan menerima suntikan vaksin.

Menurut Pengerusinya, Datuk Chua Sui Hau, One Hope Charity & Welfare sebelum ini aktif melakukan kerja-kerja kebajikan dan kini terpanggil untuk sama-sama mengendalikan  PPV bagi meningkat dan mempercepatkan kapasiti vaksinasi rakyat di negara ini.

Katanya, seramai 70 tenaga kerja terdiri daripada doktor, petugas kesihatan dan sukarelawan akan terlibat semasa proses vaksinasi di pusat berkenaan yang akan mula beroperasi esok.

“Kami buka PPV ini untuk bantu kurangkan kes. Kami NGO pertama yang buka PPV disebabkan kami mempunyai pasukan kesihatan dan sukarelawan,” jelas Sui Hau selepas mengadakan lawatan ke PPV tersebut bersama media pada Ahad.



Beliau berkata, sebanyak RM1.5 juta diperuntukkan untuk menjalankan operasi vaksinasi di PPV berkenaan selama tiga bulan.

Konsep PPV dalam taman yang menjadi pilihan, kata Sui Hua, adalah untuk memberi suasana lebih segar kepada penerima vaksin yang terpaksa berada di rumah sejak Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 3.0 dilaksanakan.

Suasana sedemikian, jelas beliau, diharapkan dapat memberikan ketenangan dan keselesaan kepada penerima vaksin sama ada sebelum atau selepas menerima suntikan vaksin.

“Sekarang orang ramai tinggal di rumah, setiap masa di rumah, jadi kami fikir ada baiknya kami buka PPV konsep begini agar orang ramai yang datang ambik vaksin akan rasa lebih relaks, tidak takut untuk terima suntikan dan balik ke rumah dengan gembira,” kata Sui Hua lagi.

Bagaimanapun, sebelum PPV dalam taman itu dibangunkan dan dibenarkan operasi, One Hope Charity & Welfare, ujar beliau, perlu terlebih dahulu mendapatkan kelulusan daripada Majlis Keselamatan Negara (MKN).

Sebagai permulaan, Sui Hua berkata, pihaknya akan memberikan suntikan 360 dos sehari sebelum dinaikkan kepada 1,000 dos sehari.

Katanya, PPV di Shop-in d’Park Autocity Juru akan beroperasi setiap hari bermula pukul 9 pagi hingga 5 petang.